PEMAIN United tidak tertekan dengan jadual padat perlawanan.
PEMAIN United tidak tertekan dengan jadual padat perlawanan.
Reuters

LONDON: Manchester United optimis mengharungi jadual yang padat apabila kian menghampiri prestasi terbaik mereka, kata pemain tengah, Ander Herrera.

United dijadual bertemu seteru tetangga yang juga pertembungan dua pasukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu pendahulu, Manchester City dalam pertembungan yang dinantikan pada Ahad ini.

Kelab kendalian Jose Mourinho itu sudah menewaskan satu daripada empat pencabar utama Arsenal 3-1, Sabtu lalu dengan dua gol dijaringkan Jesse Lingard dan Antonio Valencia serta dibantu kecemerlangan penjaga gol, David De Gea.

Ia adalah kemenangan keempat berturut-turut United dalam saingan liga.

“Kami akan mendapat kembali permainan terbaik kami tidak lama lagi,” kata Herrera dalam laman web kelab berkenaan (www.manutd.com).

“Kami berada di tangga kedua dan memburu tempat teratas liga.

“Ia adalah keputusan yang menakjubkan (di Arsenal) dengan beberapa persembahan yang hebat. David menakjubkan, dan kami juga klinikal pada babak pertama dengan dua peluang dalam tempoh 15 minit permainan bermula dan dua gol.

“Jesse tengah bersemangat ketika ini, Paul (Pogba) juga bermain dengan baik dan sesuatu yang menyedihkan apabila dia mendapat kad merah. Romelu (Lukaku) tidak menjaringkan gol tetapi dia banyak membantu kami.

“Tiga pemain pertahanan, Victor (Lindelof) juga berada dalam prestasi yang menakjubkan ketika ini. Jadi sudah tentu kami optimis.”

City ketika ini juga berada di prestasi terbaik dan dilihat hampir mustahil untuk ditewaskan dengan sasaran mereka adalah untuk meneruskan rentak 20 kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan.

United akan bermain perlawanan terakhir peringkat kumpulan Liga Juara-Juara menentang CSKA Moscow, awal pagi Rabu ini dan Herrera berkata pasukan fokus sepenuhnya untuk mengesahkan kemaraan berbanding aksi bertemu City.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2017 @ 10:56 PM