Kuala Lumpur: Jumlah kekayaan terkumpul 40 individu terkaya Malaysia sehingga 16 Januari lalu meningkat 6.2 peratus kepada RM236.56 bilion daripada RM217.82 bilion pada tahun sebelumnya.

Menurut majalah Malaysian Business, Tan Sri Robert Kuok kekal sebagai individu terkaya di Malaysia melalui dua syarikatnya Kerry Group dan Kuok Group dengan mengekalkan kedudukan berkenaan sejak 14 tahun lalu.

Namun, jumlah asetnya merosot kepada RM41.35 bilion tahun ini daripada RM54.48 bilion tahun lalu.

Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary kekal sebagai Bumiputera terkaya di Malaysia walaupun berdepan kemerosotan nilai aset kepada RM5.23 bilion berbanding RM11.07 bilion tahun lalu.

Terdapat dua muka baru dalam senarai tahun ini iaitu Tan Sri Tiong Hiew King dan Tan Sri Panglima Lau Cho Kun dari Hap Seng dengan nilai kekayaan masing-masing sebanyak RM5.10 bilion dan RM4.90 bilion.

Lima individu kembali disenaraikan tahun ini iaitu Tan Sri Shamsuddin Abdul Kadir (Sapura Group), Tan Sri Danny Tan Chee Seng (Tropicana Corporation), Tan Sri Desmond Lim (Pavilion REIT) serta Datuk Yeoh Soo Keng dan Datuk Yeoh Soo Min (YTL Corporation).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2015 @ 5:16 AM