LUKAKU (tengah) jaring tujuh gol daripada enam perlawanan terakhir.
LUKAKU (tengah) jaring tujuh gol daripada enam perlawanan terakhir.
AFP

Liverpool, England: Romelu Lukaku meneruskan kecemerlangan apabila gol penyamaan lewat permainan penyerang Everton itu membantu pasukannya seri 1-1 menentang Crystal Palace, awal pagi semalam.

Lukaku bertindak mengagumkan sejak bulan lalu dan Palace gagal menangani kehebatan pemain kebangsaan Belgium itu, yang menampan masuk dari jarak dekat sembilan minit sebelum tamat di Goodison Park.

Bekas bintang Chelsea itu kini menyumbat 50 gol dalam 100 penampilan bersama Everton sejak menyertai kelab itu secara pinjaman pada 2013 sebelum berpindah secara tetap dengan harga £28 juta (RM179.9 juta) setahun kemudian.

Dia mengumpul 14 gol dalam semua pertandingan musim ini, tujuh daripadanya hadir dalam enam perlawanan terakhirnya.

Jaringan terbaru Lukaku tepat pada masa, hadir hanya lima minit selepas pertahanan Palace Scott Dann menanduk masuk sepakan sudut bagi meletakkan pelawat di depan.

Everton melonjak ke tangga kesembilan Liga Perdana serta melebarkan rentetan tanpa kalah kepada tujuh perlawanan dalam semua pertandingan manakala Palace naik ke tangga keenam.

“Saya bangga tapi saya lebih pentingkan pasukan, jadi saya gembira dengan rekod ini tapi kecewa kami tidak meraih tiga mata,” jelas Lukaku mengenai catatan golnya.

“Selepas gol mereka kami bertindak baik, ia membuktikan kami mempunyai karakter bagus dalam pasukan.”

Everton sudah menjaringkan 10 gol dalam dua perlawanan liga terakhir di gelanggang sendiri, namun jika Wayne Rooney yang menonton menjangkakan satu lagi pesta gol daripada bekas kelabnya, kapten Manchester United itu meninggalkan stadium penuh hampa.

Sebaliknya dia hanya mampu menyaksikan kehebatan Lukaku dan rakan sepasukannya Ross Barkley.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2015 @ 10:47 AM