JENTERA dengan konsep Bratsytle.
JENTERA dengan konsep Bratsytle.
Oleh Erywan Norshal


Harley Davidson Sportster Nightster 1200 dalam ruangan Modifikasi minggu ini boleh dianggap unik kerana menerima sentuhan konsep Bratstyle.

Difahamkan, perkataan Bratstyle adalah singkatan kepada ‘British Style’ yang sinonim dengan pengubahsuaian dilakukan pada motosikal keluaran Britain seperti Triumph dan Norton.

Pemiliknya, Mohd Khayal Atan, 35, berkata, pemilihan konsep itu dikatakan bersesuaian dengan jiwanya yang gemar melayan selekoh pada kelajuan sedikit tinggi.

“Majoriti pemilik motosikal HD (Harley Davidson) di negara ini lebih memilih konsep Bobber untuk pengubahsuaian, tetapi saya mahu kelainan serta bersesuaian dengan gaya tunggangan berbeza.

“Ini kerana konsep Bratstyle boleh dikatakan di bawah kategori cafe racer, dengan gaya tunggangan dan pengendalian lebih agresif berbanding motosikal kategori ‘easy rider’,” katanya.

Mohd Khayal berkata, pengubahsuaian dilakukan tidak terlalu rumit, cuma terpaksa melakukan pengorbanan bagi mengubahsuai kerangka asal jentera berkenaan.

Menurutnya, kerangka bahagian belakang terpaksa dipotong, selain ditinggikan 2.5 inci supaya kedudukan kerusi yang ditempah khas kelihatan mendatar.

“Selain itu, saya menukar ekzos asal kepada jenama Roland Sands Design (RSD) warna hitam untuk menyalurkan bunyi serta menambah prestasi supaya lebih mantap.

“Bahagian depan juga melakukan sedikit ubah suai dengan menggunakan pemegang ‘clip on’ jenama RSD yang direndahkan sehingga satu inci,” katanya.

Menurutnya, bagi kelihatan lebih kemas, lampu depan dilengkapi dengan teknologi LED serta meter kelajuan diubah posisi di bahagian bawah di suspensi depan.

Mohd Khayal berkata, pengubahsuaian dilakukan tidak terlalu mahal kerana kos pembikinan hanya mencecah RM9,000.

Dia mendakwa motosikal HD dengan sentuhan Bratstyle di negara ini kurang menerima sambutan dan dianggarkan kurang daripada 10 unit.

INFO

UBAH SUAI LUARAN:

- Potong kerangka belakang

- Kerusi tempahan khas

- Ekzos RSD

- Pemegang ‘clip on’ RSD

- Suspensi belakang Progressive

SAIZ TAYAR:

- Depan 190/90 R19

- Belakang 150/80 R16

ENJIN: Asal

KELAJUAN MAKSIMUM: 200 kilometer sejam

KELAB: Sportster Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2015 @ 5:01 AM