Kuala Lumpur: Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Karim Ibrahim enggan mengulas persembahan atlet yang dikatakan ‘makan angin’ di Australia ketika cuba melayakkan diri ke Sukan SEA Singapura.

Karim memilih untuk berdiam diri mengenai kehambaran sembilan atlet negara yang dihantar beraksi di Australia sejak lebih sebulan lalu.

Setiap atlet itu menyertai sekurang-kurangnya lima pertandingan dengan Karim menegaskan, semua urusan dikendalikan sepenuhnya Majlis Sukan Negara( MSN).

Katanya, kesemua atlet yang berada di Australia itu dipilih MSN dan biarpun dipersetujui dalam mesyuarat jawatan kuasa kerja, menjadi tanggungjawab Pengarah Teknikal KOM Robert Ballard untuk mengulas perkara itu.

“Biar Robert yang komen. Kita tunggu saja mereka balik dan nantikan saja rumusan diberikan Robert.

“Saya tidak mahu komen kerana bagi saya terlalu awal untuk menghantar atlet ke Australia. Mereka seharusnya menyertai lebih banyak pertandingan selepas tamat Terbuka Malaysia Mac ini.

“Apapun kita tunggu saja semua keputusan kerana masih ada lagi satu kejohanan yang akan disertai sebelum pulang ke Malaysia pada 17 Mac ini,” katanya

Atlet yang beraksi di Australia membabitkan Nauraj Singh (lompat tinggi), Arif Ammar Mohd Sobri (100, 200m), Muhd Arif Zulhelmi (400m), Rayzam Syah Wan Sofian (110m lari berpagar), Lee Hup Wei (lompat tinggi), Siti Nur Afiqah Abdul Razak (200m) dan Raja Nursheena Raja Azhar (100m lari berpagar).

Kecuali Nauraj yang sememangnya sudah layak sebelum berlepas ke Australia, atlet lain gagal merekodkan catatan peribadi terbaik mahupun melepasi syarat kelayakan ke temasya dwitahunan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2015 @ 5:21 AM