Oleh Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) hanya akan mengikut garis panduan ditetapkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam pemilihan atlet layak beraksi di Sukan SEA Singapura.

Sebelum ini beberapa atlet sudah melepasi syarat ditetapkan Pengarah Teknikal KOM Robert J Ballard, namun Pengurus Sukan Olahraga MSN Datuk M Magendran berkata, mereka hanya akan mengikut garis panduan ditetapkan MOM dan senarai nama diberi KOM.

“MSN tidak mempunyai kuasa dan hanya akan mengikut apa yang ditetapkan MOM. Hanya mereka yang melepasi syarat kelayakan ditetapkan MOM akan dihantar ke Singapura.

“Ketika ini 10 atlet sudah melepasi syarat kelayakan. Sembilan lagi berada di Australia, berusaha melepasi syarat kelayakan menerusi tujuh atau lapan pertandingan sebelum pulang ke tanah air pada 16 Mac,” katanya.

Magendran menegaskan hanya tinggal sebulan buat atlet olahraga negara melepasi syarat kelayakan ke temasya Sukan SEA secara merit dengan Kejohanan Terbuka Malaysia pada 26 hingga 29 Mac menjadi medan terakhir berbuat sedemikian.

Menurutnya, beliau yakin bilangan 10 atlet itu dijangka berubah sebelum senarai awal dihantar ke MOM pada 1 April selain mengharapkan ada perkhabaran gembira dari Australia hujung minggu ini.

Sepuluh atlet yang sudah melepasi syarat kelayakan ialah Nauraj Singh (lompat tinggi), Iskandar Alwi (lompat bergalah), Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Muhammad Ashraf Saipulrahman (lompat tinggi), Mohamad Arif Zulhilmi Alet (400m), Yap Jeng Tzen (lempar cakera), Grace Wong (lempar tukul besi), Zaidatul Husniah Zulkifli (100m,200m), Casier Renne Kelly Lee (lempar tukul besi) dan Noor Amira Mohamad Nafiah (lompat jauh).

Beberapa lagi atlet seperti Harith Ammar Mohd Sobri dalam acara 100m, S Kannathasan (400m), Lee Hup Wei (lompat tinggi) dan Rayzam Shah Wan Sofian (110m lari berpagar) bagaimanapun dilihat berpotensi cerah melepasi syarat kelayakan bagi kategori A apabila kini menghuni ranking pertama senarai atlet negara dalam acara masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Februari 2015 @ 7:36 AM