HINA (dua kiri) menyerahkan sumbangan produk Dettol bernilai RM100,000 kepada pbsm  untuk  membantu mangsa banjir di pantai timur.
HINA (dua kiri) menyerahkan sumbangan produk Dettol bernilai RM100,000 kepada pbsm untuk membantu mangsa banjir di pantai timur.
Oleh Nor Faizah Mohamed


Tangan yang memberi sering disifatkan lebih baik daripada yang menerima. Namun bagi tangan yang menerima, ia mungkin bantuan tidak diduga di saat keadaan diri serba kepayahan.

Bencana banjir yang melanda kawasan pantai timur pada hujung tahun lalu menyaksikan bukan saja kemusnahan harta benda, malah menjejaskan kesihatan penduduk.

Selain kemudahan tempat tinggal, makanan, pakaian dan sebagainya, barangan penjagaan kesihatan juga perlu dititikberatkan dalam usaha memberi bantuan kepada mereka yang terjejas dek banjir.

Justeru Dettol tampil bersama Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) menderma produk penjagaan kebersihan diri bernilai RM100,000.

Sumbangan produk ini bertujuan melicinkan lagi usaha bantuan (PBSM) membersihkan kawasan terbabit di samping membantu mengekalkan tahap kebersihan dalam kalangan penduduk.

Produk didermakan itu disediakan dalam bentuk kit kebersihan sebelum diserahkan kepada setiap keluarga oleh petugas sukarelawan PBSM.

Sebagai tambahan, pengagihan kit itu disertakan dengan program kem pendidikan kebersihan untuk keluarga di kawasan bencana agar mereka dapat mengambil langkah pencegahan dan mengamalkan kebersihan di kawasan sekitar mereka.

Menurut Pengurus Besar RB Malaysia dan Singapura, Hina Nagarajan, aspek kebersihan diri seperti mencuci tangan dengan sabun selepas melakukan aktiviti pembersihan nampak remeh tetapi sebenarnya dapat mengelakkan diri daripada terkena jangkitan penyakit.

“Kami turut berasakan keperitan dialami penduduk pantai timur disebabkan bencana itu dan sebagai sebuah syarikat yang komited untuk memberikan kehidupan yang lebih sihat dalam kalangan masyarakat, kami sifatkan usaha ini sebagai tanggungjawab untuk membantu memudahkan kehidupan mereka.

“Ketika ini masing-masing sibuk membersihkan ruang dalaman dan persekitaran rumah mereka lalu usaha ini diharapkan dapat membantu mereka mengelakkan merebaknya jangkitan penyakit bawaan air ini,” katanya.

Antara produk Dettol yang didermakan ialah cecair pencuci tangan, sabun, cecair mandian dan cecair antiseptik pelbagai guna.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2015 @ 12:15 PM