TINJAUAN di Kampung Lamir, Pekan, kelmarin, yang dilanda banjir. FOTO Mustaffa Kamal
TINJAUAN di Kampung Lamir, Pekan, kelmarin, yang dilanda banjir. FOTO Mustaffa Kamal
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Malaysia menyatakan penghargaannya terhadap Kesatuan Eropah (EU) yang menyumbangkan RM300,000 bagi membantu mangsa banjir khususnya di Johor dan Pahang.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Malaysia akan sentiasa mengenang kebaikan EU itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sembrong menyampaikan ucapan terima kasih di laman Facebooknya.

"Inilah kebaikannya apabila negara kita dihormati. Dikala susah atau senang, akan ada sahaja rakan-rakan yang sentiasa bersama-sama kita.

"Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya amat berterima kasih kepada EU yang bermurah hati menyumbang RM300,000 demi membantu mangsa banjir khususnya di Johor dan Pahang.

"Malaysia akan sentiasa mengenang kebaikan rakan-rakannya. Malaysia dan EU akan terus teguh bersama!" katanya.

Sementara itu, EU dalam kenyataan semalam berkata, bantuan itu adalah untuk komuniti yang paling teruk terjejas banjir dan dapat dimanfaatkan 5,000 penduduk di kawasan itu.

Kenyataan itu juga menyebut, dana bantuan itu membantu Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) dalam mengagihkan bantuan kepada komuniti paling terjejas yang membolehkan mereka mendapatkan keperluan asas dan mengurangkan bebanan kehilangan pendapatan ekoran banjir.

Kit kebersihan juga akan diberikan bagi memastikan akses kepada bekalan air bersih serta amalan kebersihan yang baik.

Ia juga menyebut, bantuan itu sebahagian daripada sumbangan kesatuan itu kepada Dana Kecemasan Bantuan Bencana (DREF) kendalian Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 1:40 PM