JURUTEKNIK Maxis sedang berusaha memulihkan perkhidmatan di Stesen Pemancar Maxis di Dengkil dan Jelebu.
JURUTEKNIK Maxis sedang berusaha memulihkan perkhidmatan di Stesen Pemancar Maxis di Dengkil dan Jelebu.

Kuala Lumpur: Maxis Berhad (Maxis) gerakkan pasukan bagi memberi bantuan kotak makanan, kit kebersihan serta pek SIM di pusat pemindahan mangsa banjir.

Pasukan rangkaian Maxis juga sudah memulakan kerja pemulihan bagi mengurangkan sebarang gangguan rangkaian.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut berkata, pihaknya memahami cabaran yang dihadapi oleh mangsa-mangsa banjir termasuk pekerja dan pengedar Maxis dalam melalui masa yang sukar ini.

"Semoga bantuan awal diberikan dapat menaikkan semangat mereka. Pasukan rangkaian kami juga sedang berusaha memulihkan perkhidmatan dan mengurangkan gangguan rangkaian supaya mereka terus dapat berhubung dalam tempoh kritikal ini," katanya.

Menurutnya, melalui kerjasama Maxis dan Yayasan Kebajikan Negara (YKN), kotak makanan disediakan di pejabat wilayah YKN di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Ipoh, Pulau Pinang, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Kuching.

Maxis bersama Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) bakal mengagihkan kotak makanan di Pantai Timur, serta Lembah Klang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor yang ditempatkan di pejabat PBSM negeri masing-masing.

Maxis juga menyokong usaha pengedaran kit kebersihan yang mengandungi keperluan seperti tuala, sabun, tuala wanita, pencukur, berus dan ubat gigi serta sabun badan yang diedarkan melalui pegawai dan sukarelawan YKN dan PBSM.

Katanya, pengagihan pek SIM juga akan dipercepatkan ke pusat pemindahan banjir, dengan fasa awal memfokuskan negeri Pantai Timur, termasuk Kelantan, Terengganu, dan Pahang supaya mangsa yang terjejas kekal berhubung dengan rakan dan orang tersayang.

Pengedar Maxis yang kedai mereka ditenggelami banjir akan mendapat sokongan pembersihan, baik pulih serta pengubahsuaian bahan jualan supaya dapat beroperasi seperti biasa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Disember 2021 @ 7:52 AM