Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi


Rantau Panjang: Bapa dua beradik dalam skuad hoki negara, Faizal dan Fitri Saari mahu pertemuan diatur bagi menjernihkan kemelut melanda anaknya diselesaikan dihadapan media.

Saari Zakaria, 52, berkata, penyelesaian secara tertutup tidak akan memberi hasil seperti diharapkan sebaliknya, ia perlu diadakan secara telus bersaksikan media.

“Saya tak mahu pertemuan secara tertutup tetapi saya mahu pertemuan itu diadakan di hadapan media dan segala kemelut dapat diselesaikan di situ.

“Saya hargai pelawaan untuk pertemuan ini tetapi mahu ia terbuka,” katanya di sini, semalam.

Sebelum ini, Saari berkata, Setiausaha Agung Konfedarasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Johari Abdul Aziz ada menghubunginya bagi mengadakan pertemuan secara tertutup untuk berbincang masalah membabitkan anaknya.

Johari juga dilaporkan memintanya ke Kuala Lumpur sebelum ditolak secara baik oleh Saari.

Kata Saari, sekiranya media turut serta dalam perbincangan itu, dia bersedia memperjelaskan semua perkara dan menerangkan sebab utama Faizal tidak mengikuti sesi latihan skuad hoki kebangsaan.

Bapa itu juga berharap peminat sukan hoki terus memberi sokongan kepada pasukan hoki negara.

“Saya yakin dengan kebolehan anak saya dan dia juga sudah berjanji untuk bantu membawa pasukan hingga kelayakan Sukan Olimpik di Brazil selain meletakkan Malaysia dalam ranking 10 terbaik dunia.

“Saya minta jasa baik peminta hoki supaya bagi sokongan dan dorongan kepada mereka kerana mereka masih mahu berjuang dalam arena hoki ini, tetapi disebabkan masalah yang timbul menyebabkan mereka tawar hati.

“Faizal hanya mahu membantu kami sekeluarga selepas rumah kami rosak teruk akibat banjir, begitu juga bengkel motosikal yang saya usahakan,” katanya.

Saari berkata, jika mereka sekeluarga tidak terbabit bencana banjir baru-baru ini, Faizal mungkin boleh bersabar.

Sementara itu, Fitri berkata, apa yang dituntut oleh dia dan abangnya adalah hak mereka dan pemain lain seperti yang sudah dijanjikan MHC.

“Kami bukan dari keluarga yang senang dan niat sebenar adalah mahu membantu keluarga dengan duit bonus itu terutamanya selepas banjir baru-baru ini.

“Jika masalah pembayaran bonus dapat diselesaikan, saya dan Faizal berjanji kepada penyokong hoki akan bermain bersungguh-sungguh dan mengharumkan nama negara,” katanya.

Kemelut membabitkan pemain itu berlanjutan apabila tiada penyelesaian terhadap tunggakan bonus yang dituntut Faizal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2015 @ 6:12 AM