Kuala Lumpur: Punca kehilangan dua tonggak skuad hoki negara Faizal Saari dan Mohd Fitri Saari bakal terjawab minggu depan apabila pemain itu dijadual bertemu Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Shapawi diarah Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyelesaikan masalah ‘kehilangan’ adik-beradik itu apabila mereka dilapor tidak hadir menjalani latihan selepas berakhirnya kempen Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia di Singapura bulan lalu.

Shapawi yang dihubungi berkata, beliau dimaklumkan Faizal akan kembali menjalani latihan minggu depan selepas tamatnya perayaan Tahun Baru Cina justeru peluang itu akan diambil untuk berjumpa Faizal bersama adiknya Fitri.

“Sebagaimana arahan menteri, saya akan mengadakan pertemuan dengan Faizal dan Fitri bersama-sama dengan MHC (Konfederasi Hoki Malaysia) untuk memahami dan mendengar kalau ada sebab lain dalam permasalahan isu mereka lewat menjalani latihan.

“Faizal dikatakan akan hadir menjalani semula latihan dan saya akan gunakan kesempatan itu untuk bertemu dengannya serta menyelesaikan segala permasalahan,” katanya.

Kelmarin, kehilangan pasangan adik-beradik dari Terengganu itu mendapat perhatian Khairy yang menggunakan pendekatan ‘orang tengah’ dalam menyelesaikan kemelut membabitkan pemain itu bersama MHC.

Pasangan adik-beradik itu dilapor hilang dan gagal menjalani latihan bersama skuad kebangsaan dengan Naib Presiden Kanan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Nur Azmi Ahmad menjelaskan bahawa pasangan itu mempunyai alasan tersendiri.

Bagaimanapun dilaporkan rasa tidak puas hati terhadap MHC dikatakan punca kehilangan Faizal dan Fitri daripada kem latihan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Februari 2015 @ 5:04 AM