Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Saari Zakaria, bapa penyerang utama skuad hoki negara, Faizal sedia bersemuka dengan pihak pengurusan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) untuk mendengar segala masalah membabitkan anaknya itu.

Bagaimanapun, sama seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini, Saari berharap pertemuan itu nanti dapat diadakan dengan kehadiran pihak media.

Alasannya, biarlah semua perkara membabitkan Faizal diketahui umum, tidak hanya menjadi rahsia antaranya dan badan induk itu.

“Sebagai bapa, sudah tentu saya mahukan yang terbaik daripada anak-anak.

“Selama ini, mereka berjauhan daripada kami, saya sendiri tidak tahu apa yang dilakukan mereka.

“Saya tidak mahu pertemuan itu dilakukan secara tertutup. Tidak apalah, saya sedia mendengar walaupun perkara yang buruk membabitkan Faizal,” katanya semalam.

Arena Metro baru-baru ini melaporkan kenyataan Naib Presiden Kanan MHC Datuk Nur Azmi Ahmad yang menolak cadangan Saari untuk mengadakan pertemuan dengan disertai media kerana enggan menceritakan perkara membabitkan Faizal.

Begitupun, Nur Azmi menghormati pandangan Saari itu dan bersedia pada bila-bila masa untuk bertemu dengannya.

Saari berkata, terserah kepada pengurusan MHC untuk menetapkan tarikh bersesuaian bagi perjumpaan itu.

Persengketaan antara Faizal dengan MHC mula tercetus selepas pemain itu tidak menghadiri sesi latihan bersama skuad negara.

Difahamkan Faizal tidak puas hati kerana belum menerima tunggakan bonus kira-kira RM13,000 serta perkara lain seperti elaun bulanan yang rendah.

Saari mempertahankan pendirian anaknya kerana tegasnya, Faizal menuntut insentif itu bagi membantu keluarganya yang ditimpa bencana banjir pada Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, Nur Azmi tampil memberikan penjelasan terperinci mengenai segala insentif yang sudah diberikan kepada Faizal selain mengaku masih belum mampu membayar tunggakan bonus itu kerana belum mendapat suntikan wang daripada pihak penaja.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2015 @ 7:31 AM