Oleh Michelle Gun


Selepas single Sayang berjaya mencecah sebanyak dua juta muat turun, penyanyi Indonesia, Shae kini tampil dengan lagu baru berjudul Rindu kolaborasi dengan kumpulan Nukilan.

Lagu berentak hip hop itu adalah hasil ciptaan Malique, Dedeq dan Tripdisz yang menceritakan mengenai percintaan yang sudah berakhir tetapi hati masih rindu dengan bekas kekasih.

Shae yang ditemui pada majlis pelancaran Rindu mengakui cukup teruja apabila menjadi pilihan Malique yang juga komposer dan penerbit tersohor tanah air untuk menyanyikan lagu Rindu.

“Sebenarnya saya tidak begitu mengenali Malique, namun pernah mendengar orang menyebut namanya. Saya juga memberitahu perkara itu kepada seorang anggota keluarga yang juga penyanyi rap,” katanya.

Kata penyanyi dan pelakon berusia 21 tahun itu, dia bersetuju untuk menyanyikan lagu ciptaan bekas anggota Too Phat itu selepas mendengar kata-kata pujian mengenai Malique dari saudaranya.

“Saudara saya menceritakan segala-galanya mengenai Malique dan dia juga peminat rapper itu,” katanya.

Menurutnya, lagu Rindu mengambil masa hampir dua bulan untuk disiapkan sepenuhnya dan terbang ke negara ini pada Disember lalu untuk membuat rakaman bersama anggota Nukilan yang terdiri daripada Kirana, Agenda dan Kelana.

Teruja jadi pilihan Malique

Menyifatkan kolaborasi dengan Malique dan Nukilan pengalaman berharga, Shae mengakui pada mulanya sukar menyanyikan lagu itu.

“Saya sukar menyebut beberapa perkataan namun dapat menyanyikan lagi dengan baik selepas beberapa kali latih,” katanya.

Kata Shae lagi, buat masa ini, lagu Rindu hanya dipromosikan di Malaysia, namun tidak pasti sekiranya Warner Music Indonesia mempunyai perancangan untuk memperkenalkan single itu di negara berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Shae kini sibuk dengan penggambaran filem terbaru.

Bagaimanapun, penyanyi itu enggan mendedahkan lanjut mengenai watak mahupun judul filem yang dilakonkan.

Tukar nama baru

Hampir enam tahun dikenali sebagai Zizi, bekas vokalis kumpulan The The Fabulous Cats itu mengambil keputusan untuk menukar namanya menjadi Kirana.

Seperti Zizi, Afif yang juga pernah menyertai kumpulan itu turut memutuskan untuk menggelar dirinya sebagai Kelana selepas menyertai Nukilan.

Ketika ditemu bual baru-baru ini, Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah @ Zizi Mohd Tahil memberitahu pertukaran nama baru dilakukan kerana mahukan sesuatu yang baru.

“Selain itu, nama Kirana sesuai dengan penyertaan kumpulan baru Nukilan.

“Kirana bermaksud gemerlapan dan nama ini sesuai dengan saya kerana satu-satunya wanita dalam kumpulan berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, bekas peserta Akademi Fantasia 7 itu menjelaskan tindakan menggunakan nama baru bukan bertujuan untuk menghapuskan imej The Fabulous Cats.

“Apabila membuat penampilan solo, saya akan menggunakan nama Zizi Kirana,” katanya.

Dalam pada itu, Kirana dan Kelana yakin peminat mereka tidak akan keliru dengan nama baru yang digunakan.

Kirana yang berasal dari Sabah bukan sahaja nyanyi tetapi turut melakukan rap dalam lagu Rindu.

Tunggu penyanyi sesuai

Kumpulan Nukilan yang ditubuhkan pada Januari lalu menampilkan genre muzik hip hop Nusantara bernaung di bawah syarikat rakaman Qarma MusiQ milik Malique.

Menceritakan lanjut mengenai lagu Rindu, Kelana berkata, ia sebenarnya sudah dihasilkan tiga tahun lalu.

“Disebabkan mahu mencari penyanyi yang sesuai membuatkan lagu ini hanya dapat dirakamkan pada hujung tahun lalu,” katanya.

Kata Kelana lagi, Nukilan bakal tampil dengan single kedua berjudul Aduh Neng yang membawa konsep Jawa, hip hop dan Melayu.

Istimewanya pada majlis pelancaran Rindu di pejabat Warner Music, lagu itu buat kali pertama diputarkan di semua corong radio Bahasa Malaysia tepat pada jam 2.42 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2015 @ 4:43 AM