PERKENALKAN konsep baru dan utamakan semangat berpasukan untuk memenangi perlawanan.
PERKENALKAN konsep baru dan utamakan semangat berpasukan untuk memenangi perlawanan.

HAZRIL MD NOR seronok sewaktu mencuba Heroes of the Storm kerana konsepnya sangat berlainan berbanding ‘game’ lain seperti Dota 2 dan League of Legends yang popular masa kini.

Permainan berkonsep­kan pertarungan lima lawan lima bukanlah sesuatu yang baru. Heroes of the Storm (HOTS) keluaran Blizzard antara permainan dalam kelompok itu yang cuba ‘lari’ daripada konsep asal.

Ini kerana HOTS tidak menitikberatkan konsep ‘farming’ atau lebih mudah difahami sebagai teknik permainan untuk menambahkan jumlah wang daripada hero yang dikawal.

Sebaliknya konsep HOTS lebih terarah pada kerjasama antara pemain kerana item pun tidak boleh dibeli malahan pemain perlu berganding bahu dengan pemain lain untuk mencapai objektif permainan.

Kawal objektif

Dari segi objektif, ia terbahagi kepada dua. Pertama, pemain perlu bekerjasama antara satu sama lain untuk menawan ‘objektif istimewa’ yang mampu berikan kelebihan kepada pasukan. Objektif itu pula berbeza bergantung kepada medan perlawanan yang ditempatkan.

Kedua, tugas pemain ialah mengawal kem raksasa yang perlu ditewaskan untuk berikan kuasa tambahan pada askar sedia ada. Ini kerana ‘mercenaries’ akan berlawan bagi pihak anda apabila kem mereka ditawan.

Selepas berjaya menawan objektif permainan, pemain perlu mara ke hadapan untuk memusnahkan Nexus pihak lawan yang seterusnya menandakan permainan sudah tamat.

Dunia fantasi HOTS mempunyai susun atur berlainan dan ini membuatkan ia berbeza berbanding ‘game’ yang lain. Pemain boleh memilih hero dari tiga jenis dimensi berbeza, antaranya Starcraft 2, World of Warcraft dan Diablo 3.

Setiap hero mempunyai tiga set kuasa asal dan satu kuasa besar. Pemain juga boleh mengakses transformasi kuasa asal lebih hebat apabila hero meraih peringkat lebih tinggi manakala kuasa istimewa pula boleh diakses daripada set kuasa baru yang boleh dipelajari.

Kandungan menarik

Pemain boleh menukar pakaian setiap hero dengan membeli ‘skin’ yang berlainan jenis. Barang seperti ‘stimpack’ boleh dibeli untuk menambahkan jumlah ‘experience’ dan wang yang diperoleh selepas tamat perlawanan.

Sistem perkembangan hero pula diperkenalkan untuk mendorong pemain mara ke peringkat lebih tinggi. Selepas mencapai peringkat tertentu, mereka dianugerahkan wang, slot hero percuma dan banyak lagi.

Secara keseluruhannya, Heroes of the Storm layak dipuji kerana menampilkan konsep baru yang unik selain mendorong pemain agar sentiasa berkomunikasi dengan betul dan utamakan kerjasama untuk memenangi perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2015 @ 1:15 PM