BOLEH diakses secara langsung permainan mudah alih ini di Playstore.
BOLEH diakses secara langsung permainan mudah alih ini di Playstore.
Oleh Hazril Md. Nor

Mungkin tidak boleh menandingi MOBA gergasi Dota 2, namun HAZRIL

MD NOR yakin Vainglory lebih mudah dipelajari malahan semua orang boleh mahir dalam permainan ini tanpa perlu memberikan komitmen yang berterusan

Ada yang mengimpikan konsep permainan Multiplayer Online Battle Arena (MOBA) mudah diakses di hujung jari yakni membuat kemunculan sulung di pelantar Andoid dan iOS. Vainglory bukan saja menepati kriteria itu tapi juga antara MOBA yang paling interaktif di pelantar lebih kompak pada masa kini.

Tahun lalu ia hanya dikeluarkan di pelantar iOS namun kini pengguna Android juga boleh mengakses permainan mudah alih ini di Playstore.

Jika dikatakan kewujudannya ingin merampas kedudukan MOBA terulung dunia seperti Dota 2 dan League of Legends, mungkin mustahil kerana mereka berada di pelantar berlainan. Namun, ternyata pengalaman penulis bermain Vainglory di peranti pintar seperti tablet boleh dikatakan tidak rugi mencuba kerana ia sangat berbaloi.

Berbekalkan ciri sentuhan terus pada skrin, Vainglory berkongsi konsep yang sama dengan genre seumpamanya dan memaparkan karakter yang hebat-hebat belaka.

Lebih 10 karakter diperkenalkan dalam ‘game’ taktikal dan strategi ini, namun segelintir karakter perlu dibeli menggunakan ‘ace’. Tapi anda tidak perlu risau kerana setiap minggu Vainglory akan memberi akses kepada beberapa hero secara rawak.

Tawan dan menang

Sesuai dengan komposisi­nya di pelantar kompak, peta dunia Vainglory diubah suai kandungannya untuk skrin lebih kecil dan anda tidak perlu menjadi seorang profesional untuk memahami konsep ini. Dengan mengawal ‘jungle’ secara berterusan, pulangannya bukan saja lumayan malah ia menguatkan raksasa yang berperang di lorong anda.

Lebih menarik lagi, setiap hero mempunyai peranan berlainan. ‘Lane’ lebih sesuai bagi mereka yang menggunakan kuasa magis dan melakukan serangan dari jauh. ‘Jungle’ dan ‘support’ pula sangat menepati kriteria anda yang gemarkan perlawanan jarak dekat ataupun membantu rakan anda yang kerap dikejar ‘assassin’.

Dalam perlawanan tiga lawan tiga, objektif anda ialah menawan ‘vain’ pihak lawan dengan bantuan rakan sepasukan. Namun, sebelum itu anda harus memusnah­kan meriam yang melindu­ngi ‘vain’ dari dimusnahkan. Sama saja konsepnya seperti MOBA yang lain cuma kandungannya tidak terlalu padat dan ringkas.

Berganding bahu dan kawal

Selain melanjutkan perjalanan di lorong yang menuju ke ‘vain’, anda juga harus mengawal ‘jungle’ yang terletak di selatan peta. Di dalam­nya terdapat raksasa yang boleh dibunuh dan akan menyediakan emas sebagai ganjaran.

Objektif anda di ‘jungle’ ini ialah menangkap penambang emas yang memberikan akses kepada kekuatan raksasa di lorong apabila dibunuh. Selain itu, terdapat juga penambang yang lebih kuat terletak di bahagian tengah. Apabila dibunuh, ia menyediakan emas untuk pasukan anda bergantung kepada berapa lama dia menambang emas.

Pada minit ke-15, Kraken akan membuat kemunculan sulung di peta Vainglory. Anda dan rakan seperjuangan harus berganding bahu untuk menawannya dan sekiranya berjaya, Kraken akan memihak kepada pasukan anda dan terus menghancurkan menara pertahanan pihak lawan sehing­galah ia dibunuh.

Pelbagai hero disediakan

Tidak kompleks seperti Dota 2 namun Vainglory mempunyai auranya tersendiri seperti pembentukan hero yang unik. Petal misalnya mampu menabur benih dan kemudian menukarkannya menjadi askar benih yang mampu menolongnya dalam medan pertarungan.

Difahamkan, setiap hero mempunyai tiga jenis kuasa utama di mana kuasa ketiga hanya boleh diakses pada ‘level’ enam. Gabungan item juga tidaklah terlalu rumit malah pemain yang baru berjinak-jinak dalam MOBA juga berupaya menjadi mahir dalam jangka masa sing­kat.

Penulis dapati satu kelemahan pada fungsi permainan ini ialah teknik komunikasi yang disediakan. Anda hanya boleh menggunakan simbol yang disediakan untuk berkomunikasi dan Vainglory tidak menyediakan fungsi papan kekunci untuk ‘chatting’ bersama pemain lain.

Begitupun, permainan interaktif ini lebih seronok dimainkan bersama rakan kerana anda berpeluang berkomunikasi secara lebih efisien berbanding pemain di serata dunia. Boleh saja bermain secara solo namun strategi mungkin agak sukar diatur jika tiada komunikasi yang berkesan.

Mungkin peranti pintar tidak boleh menggantikan kehebatan konsol dan komputer dalam masa terdekat namun penulis percaya Vainglory berada dalam kelompoknya tersendiri sebagai permainan mudah alih yang boleh diakses di hujung jari anda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2015 @ 5:01 AM