Mayat Ahmad Alif ditemui 1.40 petang tadi. FOTO Rosli Ilham
Mayat Ahmad Alif ditemui 1.40 petang tadi. FOTO Rosli Ilham
Oleh Rosli Ilham

Dungun: Seorang pelajar lelaki tingkatan tiga ditemui lemas selepas mandi di lombong di kawasan industri Batu 7, di sini, 1.40 petang tadi.

Sebelum kejadian, mangsa, Ahmad Alif Aimin Abd Wahab, 15, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Balai Besar bersama empat rakan dari Kampung Gong Pasir, di sini, mandi lombong berkenaan pada 11.30 pagi.

Mangsa tiba-tiba lemas dan meminta bantuan rakan, namun mereka tidak berani untuk menyelamatkan mangsa kerana bimbang turut lemas.

Dua rakan mangsa kemudian mengambil ranting pokok untuk dihulurkan kepada mangsa, namun gagal selepas mangsa tenggelam ke dasar lombong.

Sepasukan enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Dungun yang ke tempat kejadian segera menjalankan gerakan mencari dan menyelamat serta berjaya menemui mayat mangsa tidak jauh dari tempatnya lemas pada 1.40 petang.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Dungun untuk dibedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2015 @ 3:25 PM