DUA lelaki ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam kolam tadahan air, lombong bijih besi, Batu Talam. FOTO Facebook Bomba & Penyelamat Negeri Pahang
DUA lelaki ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam kolam tadahan air, lombong bijih besi, Batu Talam. FOTO Facebook Bomba & Penyelamat Negeri Pahang
BERNAMA

Kuantan: Dua lelaki ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam kolam tadahan air, lombong bijih besi, Batu Talam di Raub, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Raub Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, mangsa Siak Teck Wah, 53, dan warga Indonesia, Adi Piter, 25, dilaporkan terjatuh ke dalam kolam itu oleh rakan mereka sekitar 10.40 pagi.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal diterima, mereka dipercayai disedut oleh paip salur keluar air di dalam kolam tadahan air dari lombong bijih besi yang mempunyai kedalaman kira-kira lima meter itu.

"Mayat Adi Piter ditemukan pada 12.30 tengah hari berdekatan paip salur keluar air kolam itu, namun ia mengambil masa untuk dinaikkan kerana tekanan air yang kuat dan kaki warga Indonesia itu tersangkut di dalam paip berkenaan.

"Bantuan jengkaut digunakan untuk membuka salur kolam supaya air cepat surut untuk mencari Siak, yang kemudiannya ditemukan berdekatan dengan mayat Adi Piter pada 1.15 tengah hari," katanya dalam kenyataan, di sini.

Kama Azural berkata, kedua-dua mayat mangsa berjaya dinaikkan oleh anggota bomba pada 1.20 tengah hari sebelum di bawa ke Hospital Raub untuk bedah siasat.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang dalam kenyataan memaklumkan tujuh anggota dan pegawai bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada 11.17 pagi.

"Operasi mencari kedua-dua mangsa dibantu oleh 'excavator' dengan cara membuat aliran air bagi mengurangkan paras air lombong.

"Kedua-dua mayat dinaikkan dengan menggunakan tali, dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 September 2021 @ 7:21 PM