Kepala Batas: Usahawan Bumiputera digalakkan untuk menghasilkan lebih banyak produk makanan halal bagi memenuhi keperluan orang Islam dan pada masa yang sama dapat membantu menjana ekonomi negara.

Pengerusi Jawatankuasa Kumpulan Fokus Pembangunan Usahawan Bumiputera dan Koperasi Pulau Pinang, Muhamad Farid Saad berkata, usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) boleh mengembangkan usaha terbabit melalui bantuan koperasi.

“Penghasilan produk halal yang digunakan orang Islam setiap hari terutamanya produk makanan mampu meningkatkan hasil pendapatan usahawan.

“Jadi diharapkan produk yang dihasilkan ditambah bagi memastikan pelanggan mempunyai lebih banyak pilihan dalam memilih makanan halal keluaran usahawan tempatan,” katanya selepas merasmikan Karnival Mini PenBEX (Ekspo Usahawan Bumiputera Pulau Pinang) 2015 di Vision Park, Bertam di sini, baru-baru ini.

Karnival mini anjuran Koperasi Usahawan Groombig Pulau Pinang (Kunang) itu menjadi salah satu program pengenalan sempena PenBEX yang akan berlangsung pada 30 Mei sehingga 7 Jun depan.

Muhamad Farid berkata, seramai 70 usahawan bernaung di bawah Kunang dan sebahagian produk yang dikeluarkan dipasarkan di tiga cawangan pasar raya Aeon Big di Bukit Minyak, Seberang Jaya dan Alor Setar, Kedah.

“Ini pencapaian yang memberangsangkan dan sebuah kedai dua tingkat di daerah Seberang Perai Utara (SPU) akan diubah suai bagi membolehkan produk ahli dipasarkan dengan lebih sistematik.

“Premis berkenaan dijadikan platform untuk mereka mengembangkan perniagaan dan meningkatkan pengeluaran produk tempatan,” katanya. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Februari 2015 @ 7:07 AM