ANNUAR Musa.
ANNUAR Musa.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Perebutan kerusi nombor satu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dilihat semakin menarik apabila dua tokoh bola sepak tempatan Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Tan Sri Annuar Musa dijangka bersaing merebut jawatan Presiden pada Kongres ke-53 badan induk itu 25Mac depan.

Daripada empat calon yang disenaraikan, Annuar yang juga Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) sudah mengesahkan untuk bertanding manakala pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Tunku Ismail pula berjaya mendapatkan perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bagi merebut posisi panas itu biarpun tarikh akhir pengesahan hanya akan tamat pada Isnin depan.

Berdasarkan senario terbaru itu, kemungkinan persaingan kali ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Annuar dan Tunku Ismail tatkala Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat masih berdiam diri dan mungkin memberi laluan.

Annuar yang pernah memegang jawatan Timbalan Presiden FAM menghantar surat pengesahan menerima pencalonannya kepada Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin tengah hari semalam sekali gus muncul sebagai calon pertama.

Menerusi kenyataan rasmi di akaun Facebook miliknya, Annuar mengakui lega selepas menyerahkan borang persetujuan bertanding sambil bersalaman dengan Hamidin pada pertemuan itu.

“Alhamdulillah. Serah borang menerima pencalonan jawatan Presiden FAM, calon pertama menerima pencalonan atas semangat kesukanan,” katanya.

Bagi Tunku Ismail pula, walaupun masih belum menyerahkan borang pengesahan namun beliau sudah menyatakan kesediaan untuk bertanding selepas mendapat perkenan daripada Sultan Johor, semalam.

“Ubahlah air muka bola sepak tanah air,” titah Sultan Ibrahim kepada Tunku Mahkota Johor yang sebelum itu menyerahkan bulat-bulat keputusan berkenaan kepada ayahandanya.

TMJ sebelum ini pernah bertanding jawatan Presiden FAM pada pemilihan penggal 2014-2018 tetapi tewas kepada Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dalam pertandingan yang diadakan dua pusingan.

Pada pusingan pertama, Tengku Abdullah meraih 24 undi sementara Tunku Ismail sekadar mendapat 15 sebelum undian kali kedua dibuat dengan Tengku Mahkota Pahang itu tetap mengumpul sokongan tertinggi sebanyak 27 undi berbanding 12 buat TMJ.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2017 @ 9:13 AM