JALAN Halal Bandar Hilal.
JALAN Halal Bandar Hilal.
BARANGAN yang dijual pada harga berpatutan.
BARANGAN yang dijual pada harga berpatutan.
WARTHOG binatang dalam keluarga khinzir.
WARTHOG binatang dalam keluarga khinzir.
BERUANG hitam Asia.
BERUANG hitam Asia.
HAIWANyang dilepas tanpa ada halangan dengan pengunjung.
HAIWANyang dilepas tanpa ada halangan dengan pengunjung.
Oleh Erywan Norshal


Agak berat hati penulis mengikuti program hari pertama diaturkan Honda Malaysia Sdn Bhd (Honda Malaysia) ke Night Safari Chiang Mai yang mengambil masa 30 minit perjalanan daripada bandar Chiang Mai, Thailand.

Jika sekadar menonton haiwan dalam kandang seperti di kebanyakan zoo pasti membosankan.

Kadangkala hati penulis ini tersentuh apatah lagi melihat keadaan binatang yang terkurung berbanding hidup bebas di habitat asal.

Namun, apabila berada di Night Safari Chiang Mai, apa yang digambarkan penulis meleset dek melihat beberapa haiwan herbivor dilepas secara bebas di sekitar kawasan itu.

“Seronoknya macam berada di Afrika...,” kata penulis sendiri dan kamera di tangan terus merakam gambar haiwan buas itu dalam cuaca malam yang diterangi bulan purnama.

Kami memasuki kawasan itu menggunakan kenderaan yang disediakan dan penunjung diberi amaran jangan menggunakan ‘flash’ kamera jika mahu mengambil gambar haiwan buas terbabit.

Pada awal perjalanan, rombongan kami disajikan beberapa binatang herbivor seperti gnu dalam keluarga Connochaetes yang seakan-akan lembu, bertanduk melengkung dan berekor panjang.

Satu sudut lain, haiwan yang dipamerkan itu pernah menjadi watak filem animasi dalam The Lion King iaitu Timon dan Pumbaa.

Teruja penulis melihat ‘gelagat’ kedua-dua haiwan itu yang dikenali sebagai ‘meerkat’ dan ‘warthog’ itu, selain sempat melihat rakan baiknya iaitu ‘Simba’ watak seekor singa dalam filem berkenaan.

Di pertengahan perjalanan, kami dikejutkan ­dengan sekumpulan rusa, zirafah dan kuda belang jinak yang dilepaskan. Di situlah, kami berpeluang memberi makanan lobak merah atau pisang kepada binatang terbabit.

Pada mulanya, penulis dan rombangan media lain bimbang jika binatang itu bertindak ganas kerana kenderaan yang dinaiki terbuka dan tiada pelindung.

Bagaimanapun, selepas beberapa kali menyuapkan makanan kepada binatang berkenaan, penulis mendapati mereka sangat jinak seolah-olah menunggu kehadiran kami untuk memberi makan malam.

Antara rasa gemuruh dan berani, penulis sempat me­ngusap kepala zirafah. Ini kali pertama penulis memegang haiwan terbabit apatah lagi berpeluang memberi makanan secara berhadapan.

Kami turut berkunjung ke Zon Pemangsa yang dipenuhi 27 spesies membabitkan 200 haiwan berbeza antaranya harimau, singa dan beruang hitam Asia.

Semua binatang yang dipamerkan dikawal ketat dan berada dalam kandang masing-masing, tetapi berada dalam kawanan haiwan ganas itu pada waktu malam memberi satu pengalaman berbeza.

Walaupun tidak perlu berpeluh, tetapi melihat haiwan buas yang berkeliaran dalam kandang, hati kecut juga kerana melihat secara terus.

Sedang asyik melihat harimau dan singa, penulis terkejut dengan kehadiran babi hutan berdekatan kenderaan kami. Haiwan itu agak jinak dan seperti menunggu makanan dihulurkan.

Namun, kami dinasihat­kan usah menyentuhnya kerana bimbang digigit atau diserang haiwan itu.

Kunjungan penulis bersama Honda Malaysia pada kali ini sedikit berbeza kerana disertai media ‘lifestyle’ untuk memandu uji Honda HR-V di negara gajah putih itu.

Jadi, ruang untuk memandu uji jentera itu dihadkan dan dipenuhi aktiviti melawat kawasan menarik serta menikmati makanan di sekitar Chiang Mai.

Boleh dikatakan satu hari sesi pandu uji itu, penulis dan rakan media dengan menikmati minuman kopi dan makanan tempatan termasuk minum petang ala Barat.

Sememangnya rugi jika ke Chiang Mai, tetapi tidak menikmati kopi tempatan dan tempat yang dibawa Honda Malaysia ke Nine-One Coffee dianggap minuman terbaik pernah penulis cuba sebelum ini.

Kedai itu boleh dianggap terpencil apabila terpaksa memandu lebih satu jam dari bandar Chiang Mai, namun dengan memandu Honda HR-V memberi satu pengalaman menarik sebagai produk terbaru baru keluaran Honda Malaysia.

Sebaik saja tiba di tempat berkenaan menggunakan Honda HR-V yang dijanakan enjin bersesaran 1.8 liter, ternyata reka bentuk kedai itu sungguh mempesonakan.

Apa yang boleh penulis kongsikan adalah lokasi­nya berhampiran bukit selain terletak di sebelah anak ­sungai sekali gus memberi ketenangan ketika menghirup kopi panas dalam suhunya sedikit sejuk.

Sebelum berakhirnya pandu uji itu, penulis dihidangkan minum petang ala Barat termasuk menu pencuci mulut seperti macaroon, puding dan pastri sambil mata melayan panorama indah Sungai Ping, Chiang Mai.

Macaroon itu boleh dikatakan lembut sedikit dengan intinya yang masih segar seolah-olah baru saja keluar dari ketuhar. Malah, ia disediakan dengan teh tawar pel­bagai perisa untuk mengurangkan rasa manis pencuci mulut itu.

Sebaik selepas sesi pandu uji itu, penulis mencuri sedikit masa untuk berkunjung ke Pasar Anusarn yang beroperasi selepas jam 6 petang di Jalan Chang Klan.

Jika mahu membeli pakaian, aksesori wanita seperti gelang dan cenderamata, inilah tempat paling sesuai selain dapat tawar-menawar dengan harga menarik.

Ketika tiba di sana pada waktu senja, penulis terde­ngar azan Maghrib tidak jauh daripada Pasar Anusarn itu. Rupa-rupa di sana terletaknya Masjid Hadayatul.

Penulis juga tidak menyangka kawasan itu dipenuhi komuniti Muslim sehingga jalan itu dinamakan Jalan Halal Bandar Hilal.

Sayangnya ketika berkunjung ke tempat itu, perut penulis sudah penuh dan tidak mampu diisi makanan yang dijual sepanjang jalan itu.

Kebanyakan produk makanan yang dijual boleh dikatakan hampir sama dengan masakan Thai, cuma bahan digunakan halal.

Ketika penulis berada di kawasan berkenaan, terdengar sekumpulan lelaki bercakap bahasa Melayu seperti masyarakat Melayu di Selatan Thailand, namun loghat mereka terlalu ‘pekat’ dan sukar difahami.

Sepanjang memandu uji dan bersantai di Chiang Mai, kesimpulannya tempat itu memang lokasi ideal untuk bercuti apatah lagi bagi pelancong Muslim kerana ramai komuniti beragama Islam, makanan halal, ada tempat beribadat dan pastinya keseronokan membeli-belah ­dengan harga yang munasabah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Februari 2015 @ 5:06 AM