Oleh Mohd Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bekas jurulatih skuad hoki negara Muhammad Dhaarma Raj Abdullah menggesa agar Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) segera menyelesaikan masalah membabitkan pemain kebangsaan terutamanya pasangan ‘emas’ adik beradik, Faizal Saari dan Mohd Fitri Saari.

Faizal yang memainkan watak penting dalam kejayaan skuad The Speedy Tigers layak ke Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Belgium, Jun ini, antara tonggak penting yang tidak harus diketepikan dalam misi negara untuk layak ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Menurut Dhaarma, biarpun tidak mengetahui dengan tepat sebab kehilangan adik beradik itu, beliau tetap melihat peranan dan kehadiran dua tonggak itu amat penting bagi mencuri sekurang-kurangnya tempat kelima di Belgium sekali gus layak beraksi di pentas Olimpik.

“Kita selalu salahkan pemain atau jurulatih apabila pasukan tewas. Tapi apabila mereka berdua (Faizal dan Fitri) hilang, pasti perkara itu ada kaitannya dengan pihak pengurusan (MHC).

“Bawalah berbincang secepat mungkin dan cari titik persamaan untuk kebaikan bersama. Saya bukan berniat menyalahkan sesiapa baik pasukan atau MHC, tapi sebagai rakyat Malaysia yang ingin melihat kita layak ke Sukan Olimpik.

“Pasukan kita mampu layak sekiranya semua masalah itu dapat diselesaikan sebelum ke Belgium supaya fokus dan tumpuan pemain tidak terganggu. Buat saya, mereka berdua wajib ada dalam pasukan jika mahu melihat kita layak ke Olimpik,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Sebelum ini, kehilangan pasangan adik-beradik dari Terengganu itu mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang menggunakan pendekatan ‘orang tengah’ dalam menyelesaikan kemelut membabitkan pemain itu bersama MHC.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail diarahkan Khairy bagi menyelesaikan masalah ‘kehilangan’ adik-beradik itu apabila mereka dilapor tidak hadir menjalani latihan selepas berakhirnya kempen Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia di Singapura bulan lalu.

Jelas Dhaarma lagi, kombinasi pemain senior dan junior yang dibimbing ketua jurulatih, Tai Beng Hai ketika ini berada pada tahap prestasi terbaik buat merealisasikan impian beraksi di Rio.

“Persembahan skuad negara ketika di Singapura begitu baik sekali walaupun pasukan yang bertanding bukan saingan sebenar kita.

“Namun apa yang positif, motivasi dan keyakinan barisan pemain sekarang amat tinggi, terutama selepas menjuarai pusingan kedua itu,” katanya.

Berdasarkan rekod, kali terakhir pasukan kebangsaan beraksi di Sukan Olimpik pada 2000 di Sydney dengan menamatkan cabaran di tangga ke-11. Selepas itu, skuad hoki negara tidak layak ke Sukan Olimpik di Athens pada 2004, 2008 (Bejing) dan 2012 (London).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Februari 2015 @ 6:58 AM