Kuala Lumpur: Tahap kecederaan pemain perseorangan negara Chong Wei Feng akan terjawab hari ini apabila dia menjalani pemeriksaan di Institut Sukan Negara (ISN) dan mungkin bakal melakukan imbasan magnetik resonan (MRI).

Menurut pemain kelahiran Sungai Petani itu, selepas doktor pakar di ISN menjalankan pemeriksaan, barulah mereka akan memutuskan untuk menjalani MRI di hospital ditetapkan.

“Belum pasti sama ada saya akan melakukan MRI, semuanya bergantung kepada pemeriksaan lanjut di ISN,” kata pemain itu yang mengalami kecederaan paha di Grand Prix (GP) Emas Terbuka India minggu lalu.

Wei Feng terpaksa beraksi dalam kesakitan sepanjang kejohanan di India, namun sebaik melangkah ke pusingan suku akhir bertemu pemain tuan rumah, K Srikanth kecederaan paha kirinya itu bertambah teruk.

Ia berlaku ketika di set kedua apabila kedua-dua pemain terikat 8-8 hingga memaksa dia menarik diri sebelum bermulanya aksi rubber set.

“Saya belum pasti sejauh mana tahap kecederaan saya ini dan berharap tidak mengambil masa lama untuk sembuh.

“Saya sudah melakukan ujian X-ray dan tidak ada sebarang keretakan di bahagian tulang pelvis. Hanya imbasan MRI yang bakal memberi jawapan sebenar tahap kecederaan saya,” katanya yang mula cedera sebelum GP Emas Masters Terbuka Malaysia di Kuching dua minggu lalu bermula.

Ketika di GP Emas Masters Terbuka Malaysia itu, Wei Feng terkandas di pusingan kedua apabila tumpas kepada rakan senegara, Muhamad Arif Abd Latif.

Wei Feng yang menggalas tugas selaku pemain perseorangan utama negara selepas ketiadaan Datuk Lee Chong Wei berharap kecederaannya tidak serius.

Selain Wei Feng, dua lagi pemain negara, Goh V Shem (beregu lelaki) dan Tee Jing Yi (perseorangan wanita) turut memulakan musim 2015 dengan masalah kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 January 2015 @ 7:28 AM