BELUM bersedia cipta lagu bercorak ketuhanan.
BELUM bersedia cipta lagu bercorak ketuhanan.
Syanty Octavia Amry


Mencintai bidang muzik bukan bererti penyanyi dan komposer Noh Salleh bebas berkarya mengikut apa juga jenis muzik.

Sebaliknya, penyanyi yang bermula dengan muzik hip hop sebelum popular bersama Hujan itu mengakui sejak isterinya, Mizz Nina berubah penampilan, dia belum bersedia untuk menghasilkan lagu ketuhanan.

Padanya, biar apa yang

dilakukan mengikut aliran saja. Justeru, kini dia sibuk menguruskan album artis baru, Ashraf Hardy yang berkonsepkan hip hop.

Menggunakan dialek Sarawak, Noh tidak terlalu memfokuskan diri untuk terus berkarya dalam muzik indie.

“Saya bermula dengan muzik hip hop sebelum menyertai kumpulan Hujan, mungkin rezeki lebih berpihak kepada muzik indie membuatkan orang berfikir saya adalah pemuzik tegar indie.

“Pada saya, muzik ini sangat luas apa juga jenis kita boleh buat jika sudah menjadi minat. Begitu juga dengan muzik ketuhanan, buat masa ini saya belum terfikir lagi untuk menghasilkannya, namun lihat pada keadaan nanti mungkin juga satu hari nanti lagu ketuhanan menjadi antara sentuhan saya.

“Apatah lagi saya banyak terbabit dengan program yang membabitkan saya dengan isteri, Insya-Allah mungkin peranca­ngan ke arah itu ada,” katanya.

Mengulas mengenai muzik hip hop yang dilihat semakin menjadi perhatian, Noh berkata, dia bangga dengan perkembangan itu, malah tidak terfikir muzik indie akan terpinggir.

“Setiap muzik kita mengikut arus kehidupan, jika saat ini muzik hip hop menjadi perhatian, saya sedikit pun tiada masalah.

“Saya sendiri yang bermula dengan muzik hip hop pastinya rasa begitu bangga apabila muzik yang sebelum ini kurang dihargai kini disanjung tinggi.

“Tiada istilah muzik indie ketinggalan kerana saya yakin, setiap muzik ada pengikutnya sendiri, malah musim muzik itu akan silih berganti dan saya perlu akur mengenai perkara itu,” katanya.

Mengulas mengenai penghasilan lagu baru artisnya yang berjudul Ngap Ajak, Noh berharap dia dapat memartabatkan dialek Sarawak dalam industri muzik.

“Ini percubaan buat saya. Diharap peminat Semenanjung dapat menerima kehadiran lagu ini. Apa yang saya lakukan juga sebagai membantu memberi perangsang kepada kawan-kawan yang mahu menjadi penyanyi, tetapi tiada peluang.

“Ashraf juga adalah teman seperjuangan dan bagi membantunya, saya hasilkan lagu ini de­ngan merakamnya di studio milik saya,” katanya.   

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Februari 2015 @ 8:38 AM