SALAMMUSIK
SALAMMUSIK
Ridzuan Abdul Rahman


Tuah ternyata berpihak kepada kumpulan Salammusik apabila Terima Kasih muncul sebagai penerima Lagu HipHop Terbaik di Voice International Music Awards (VIMA) 2016 yang menjadi medan pengiktirafan muzik indie di Asia Tenggara.

Menurut mereka, lirik lagu ini dilakar berdasarkan pengalaman Salammusik dalam bidang muzik sejak awal pembabitan hinggalah ke hari ini.

“Kami kumpulan yang ada pelbagai pesona serta minat yang menjadi asas dalam muzik.

“Oleh kerana itu, setiap lagu mempunyai palet warna daripada pelbagai rasa dan integriti melodi. Kami sangat bersyukur dipertemukan dalam sebuah kumpula dan kami manfaatkan masa yang ada dengan bikin muzik,” kata Salammusik.

Anugerah Hip Hop Terbaik ditentukan panel hakim global (termasuk produser yang sudah memenangi anugerah dan selebriti muzik) dan undian awam serantau melalui media sosial.

Penganugerahan ‘microawards’ Anugerah Hip Hop VIMA 2016 berlangsung dalam suasana unik di studio rakaman Salammusik dan disiarkan secara langsung di laman Facebook.

Penganjuran VIMA kini memasuki tahun kelapan. Anugerah ini menjadi penanda aras pelbagai acara di seluruh dunia dan membuka ruang kepada pemuzik untuk lebih dikenali.

Antara pemenang terdahulu ialah Yuna, Altimet, The Great Spy Experiment (Singapura), Joe Flizzow, EAR Project (Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia), Prema Yin, K-Town Clan, Ze Rebelle dan Sasi The Don.

Tidak ketinggalan Alex Subryn, An Mistake Honest, Inci Chua (Singapura), Feez Madea (Brunei), Electrico (Singapura), Pop Shuvit dan Melissa Indot.

Pengasas VIMA, Siva Zaphod Chandran berkata, walaupun sempadan antara muzik arus perdana dan indie masih kabur, VIMA mengiktiraf bakat pemuzik indie yang kreatif dan unik selain membuka laluan untuk pergi lebih jauh.

“Saya gembira melihat bakat hebat dari Malaysia memenangi VIMA dan mereka memang layak,” katanya.

Salammusik menzahirkan rasa syukur apabila menerima pengikitirafan itu.

“Kami tidak sabar mahu menempuh pelbagai pengalaman menarik dan projek tahun ini.

“Kami baru sahaja tampil dengan single berjudul Dewi Seraya dan kini dalam proses persiapan akhir album baru.

“Pada Julai dan Ogos ini ada siri jelajah Eropah pula. Kami berbesar hati mewakili Malaysia dalam festival muzik utama.

“Ini adalah tahun keempat kami menjelajah Eropah dan Salammusik bersiap sedia memberikan persembahan yang terbaik,” kata mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2017 @ 10:13 AM