KUMPULAN Lunar memenangi Anugerah Pop Terbaik dan Lagu Terbaik di Anugerah Lagu Indie 2023 (ALI23). FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
KUMPULAN Lunar memenangi Anugerah Pop Terbaik dan Lagu Terbaik di Anugerah Lagu Indie 2023 (ALI23). FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
Ridzuan Abdul Rahman

Puchong: Lagu Pembunuh Malam daripada Lunar diumumkan sebagai Lagu Terbaik Anugerah Lagu Indie 2023 (ALI2023) yang berlangsung di ESI Grand Hall, Spacerubix di sini, malam tadi.  

Ia membolehkan mereka membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM15,000 dan trofi dengan menewaskan 14 lagu indie lain yang bertanding. 

Kumpulan terbabit juga muncul sebagai pemenang Anugerah Lagu Pop Terbaik yang membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 dan trofi.

Sebanyak enam anugerah dipertandingkan iaitu Anugerah Lagu Terbaik, Anugerah Persembahan Terbaik, Anugerah Pop Terbaik, Anugerah Rock Terbaik, Anugerah Hip Hop dan Anugerah Lagu Terpaling Platinum Cik. 

Anugerah Persembahan Terbaik dimenangi Odelia Tirza menerusi lagu Stargazing dan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 dan trofi. 

Anugerah Lagu Rock Terbaik dimenangi Vota menerusi lagu Souled Out dan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 dan trofi, manakala Anugerah Lagu Hip Hop dimenangi LXF menerusi lagu LXF dan turut membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 dan trofi. 

Sementara itu, Anugerah Lagu Terpaling Platinum Cik dimenangi Armpunk Sindicate menerusi lagu Noisy Punk dan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan trofi. 

ALI2023 membariskan tujuh juri profesional dalam industri muzik tanah air iaitu Wingmengsg, Juwita Suwito, AG Coco, Edwin Raj, Diandra Arjunaidi, Roshan Jamrock dan Ariana Adnan. 

ALI2023 menyaksikan 626 penyertaan lagu dan 11,000 undian awam menerusi undian secara dalam talian di laman web www.anugerahlaguindie.com

Pemenang dipilih berdasarkan 30 peratus undian awam dan 70 peratus pemarkahan juri untuk setiap kategori. 

ALI2023 disokong oleh Rakan Muda, Rakan Muda-Rakan Muzik, manakala Rakita 107.9 bertindak sebagai Radio Rasmi. 

Kumpulan Bunkface turut ditampilkan sebagai artis undangan menyanyikan lagu Malam Ini Kita Punya dan Situasi. 

ALI2023 turut disiarkan secara langsung menerusi saluran YouTube Anugerah Lagu Indie. 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 7:18 AM