Oleh DJ Dolasoh


Gerik: Seorang pendaki Gunung Geras di sini yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu, dipercayai selamat selepas ditemui oleh Orang Asli Pos Belatim, 2.45 petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gerik, Azizul Aswad Ashaharis, berkata, pihaknya menerima maklumat penduduk Orang Asli Pos Belatim menemui seorang lelaki sesat di kampung mereka petang tadi.

"Berdasarkan maklumat itu, kita percaya orang sesat itu adalah pendaki Gunung Geras yang dilaporkan hilang sebelum ini.

"Usaha sedang dilakukan sekarang untuk membawa lelaki itu ke Gerik," katanya.

Pada Ahad lalu, sekumpulan 24 pendaki dilaporkan melakukan ekspedisi mendaki Gunung Geras sebelum seorang daripadanya berusia 37 tahun dilaporkan hilang.

Aduan kehilangan itu diterima pihak bomba pada petang keesokan harinya.

Kumpulan pendaki dari Kuala Lumpur itu tiba di Gerik pada Sabtu, sebelum menaiki bot di Jeti Awam Tasik Banding ke Pos Kemar dan bermalam di situ.

Mereka meneruskan perjalanan untuk pendakian pada Ahad.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Februari 2015 @ 6:14 PM