Santai tanpa mengenepikan fungsi. Santai juga tanpa mengehadkan gaya terkini. Nyata Burton berjaya menterjemahkan semua elemen itu dalam satu himpunan menarik musim ini.

Masih ada unsur klasik dan maskulin, namun Burton cuba membawakan koleksi yang disuntik aura kontemporari menerusi pilihan material moden dengan mainan rona serasi.

Mesej yang disampaikannya cukup jelas iaitu gaya ringkas bersahaja sebenarnya lebih yakin dibawa ke musim seterusnya. Menerusi koleksi padu dan mudah dipadankan ini, Burton sememangnya helaian untuk jejaka yang enggan terikat dengan trend semasa.

Rona segar melatari sebahagian besar himpunannya sementara pilihan fabrik yang ringan dan dingin membolehkannya digabungkan atau dilapisi beberapa helaian lain.

Setiap rekaannya punya kisah tersendiri. Setiap kembara yang diharungi sang pereka dihamparkan pada helaian kasual trendy inspirasi vintaj yang jelas tertera pada citra denim dan jersi yang diselang-selikan dengan fabrik lembut.

Pengaruh tropika menerusi tema Tropical Ranger memperlihatkan cetakan flora terang dengan pertembungan kontra dua warna (terang dan gelap) lalu menghasilkan siluet yang lebih kasual serta selesa.

Trend Gothic Skater dan California Warrior pula lebih beremosi dengan palet rona gelap yang disuntik sedikit pilihan warna kelabu dan putih. Celana nipis kelabu dipadukan bersama jersi biru kelasi bagi menghasilkan gaya lebih signifikan.

Kemeja denim hitam pula sengaja digandingkan bersama helaian jersi bola lisut rona monokrom untuk lagak sporty.

Trend berikutnya, Botanical membiarkan simbahan warna mendominasi keseluruhan rekaan. Sut kontemporari hadir dalam rona hijau teal dan biru kobalt dengan potongan maskulin sementara pakaian rajut ditenun nipis atas faktor keselesaan.

Tanpa mengenepikan tradisinya, Burton mengekalkan helaian mesti ada bagi jejaka antaranya kemeja dan celana potongan klasik. Pilihan warnanya pula lebih terarah kepada aspek moden kontemporari yang menyaksikan pastel banyak menguasai setiap rekaan.

Ia dilengkapi aksesori ringkas seperti beg genggam dan sepatu aura 70-an. Kasut but bertali tinggi, but suede biru, Chukka, loafer dan sepatu potongan tinggi bergabung dengan brogue serta kulit hitam berpaten bagi melengkapkan lagi penampilan keseluruhan musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Oktober 2014 @ 5:52 AM