PEMAIN Korea Selatan (jersi merah) bertekak dengan pemain Iran.
PEMAIN Korea Selatan (jersi merah) bertekak dengan pemain Iran.

Seoul: Jika Korea Selatan dan Iran merasakan perlawanan persahabatan di Teheran awal pagi semalam mampu meredakan ketegangan antara kedua-dua negara, mereka pastinya tersilap.

Kemenangan 1-0 Iran di Stadium Azadi itu berakhir dengan pemain dan pegawai kedua-dua pasukan hampir bertempur hingga terpaksa dileraikan pihak lain. Jurulatih Korea Selatan Uli Stielike dan rakan sejawatnya di Iran Carlos Queiroz juga gagal menahan kemarahan masing-masing.

Hubungan Korea Selatan-Iran mula tegang sejak Piala Dunia Brazil apabila Korea Selatan mendakwa mereka tidak diberikan peralatan latihan yang cukup di Teheran ketika kempen kelayakan dan jurulatih ketika itu, Choi Kang-hee berkata, beliau tidak sabar untuk menyingkirkan Iran daripada perebutan untuk ke Brazil.

Iran bertandang ke Seoul untuk aksi timbal balik tahun lalu dan mereka mengalahkan tuan rumah 1-0 sekali gus mencetuskan pelbagai masalah apabila Queiroz dan pembantunya meluru ke arah tempat duduk pemain simpanan Korea sambil melakukan beberapa provokasi.

Awal pagi semalam, pemain gantian Sardar Azmoun menjaringkan gol kemenangan pada lewat permainan sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah Iran di laman sendiri setiap kali menentang Korea Selatan.

Bekas pemain antarabangsa Jerman, Stielike yang menjana kebangkitan Korea Selatan sejak mengendalikan pasukan September lalu, meluahkan kemarahannya kepada pengadil dari Uzbekistan, Valentin Kovalenko dan terpaksa diiring pengawal keselamatan untuk keluar.

“Iran melakukan 20 kesalahan di babak pertama dan mereka tidak dilayangkan kad kuning,” kata Stielike selepas perlawanan sambil menambah jaringan itu tidak sepatutnya dibenarkan.

“Pengadil dan pembantunya melakukan kesilapan besar.”

Perlawanan itu adalah aksi pemanas badan terakhir Korea Selatan sebelum Piala Asia yang berlangsung 9 hingga 31 Januari di Australia dan Stielike yakin pasukannya bakal bangkit. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 November 2014 @ 5:22 AM