TEVEZ (kiri) kini bersama Boca Juniors selepas tinggalkan Shanghai Shenhua. FOTO/AFP
TEVEZ (kiri) kini bersama Boca Juniors selepas tinggalkan Shanghai Shenhua. FOTO/AFP
AFP

BUENOS AIRES: Carlos Tevez berharap mengundur masa dan menjadikan kepulangannya bersama Boca Juniors sebagai batu loncatan untuk dia kembali menyarung jersi kebangsaan Argentina menjelang Piala Dunia di Russia tahun ini.

“Saya hanya mempunyai baki beberapa tahun untuk bermain bola sepak, beraksi di Piala Dunia bagi pemain seusia saya adalah perkara yang cukup indah,” kata Tevez.

Bekas penyerang Manchester United dan Juventus itu - yang mencecah usia 34 tahun bulan depan - kali terakhir bermain untuk negaranya pada Oktober 2015.

Tetapi Tevez sudah cukup gembira untuk kembali bermain selepas tempoh 12 bulan mengecewakan bersama kelab China, Shanghai Shenhua yang menawarkan kontrak lumayan.

“Saya mahu menikmati tempoh dua tahun bersama Boca ini kerana ia perkara terakhir yang ada pada saya,” katanya ketika diperkenalkan oleh kelab selepas perpindahannya minggu lalu.

TEVEZ (kiri) mula berlatih bersama rakan sepasukan. FOTO/AFP
TEVEZ (kiri) mula berlatih bersama rakan sepasukan. FOTO/AFP

Pengerusi Boca Daniel Angelici berkata, kepulangan Tevez ke kelab lamanya itu tidak membabitkan sebarang bayaran antara Shenhua dan kelabnya.

“Saya ingin berterima kasih kepada kelab China kerana memudahkan perpindahan Carlos ke sini. Tiada sebarang pampasan, sama ada dari Boca ke kelab China atau dari China ke Boca,” kata Angelici.

Tevez menyertai Shenhua pada Januari tahun lalu dengan anggaran gaji 730,000 euro (RM3.49 juta seminggu), menjadikannuya salah seorang pemain dengan bayaran tertinggi di dunia.

Dia hanya menjaringkan empat gol dalam kejuaraan di China selepas mengharungi musim dicemari kecederaan di mana dia terlepas aksi final Piala China yang dimenangi pasukannya.

Sasarannya kini ialah memenangi trofi Copa Libertadores bersama juara enam kali Boca. Kali terakhir kelab Buenos Aires itu menjuarainya ialah pada edisi 2007.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 9:25 AM