TIGA tokoh penulis PPJ (dari kiri) Hasimah, Zulaika dan Rohaida bersama anugerah masing-masing.
TIGA tokoh penulis PPJ (dari kiri) Hasimah, Zulaika dan Rohaida bersama anugerah masing-masing.
SEMPAT merakam kenangan bersama tetamu kehormat pada majlis penganugerahan baru-baru ini.
SEMPAT merakam kenangan bersama tetamu kehormat pada majlis penganugerahan baru-baru ini.
Oleh Mohd Sah Muda

Senyuman menguntum di bibir dua novelis wanita ini apabila nama mereka diumumkan sebagai penerima anugerah Tokoh Penulis Johor 2013 pada majlis yang berlangsung di Orchard Golf & Country Resort di Kulaijaya, baru-baru ini.

Dua penulis berkenaan, Rohaida Yon dan Zulaika Paikon bukanlah nama kecil dalam dunia penulisan negara apatah lagi mereka berdua sudah menerima pelbagai pengiktirafan sebelum ini.

Namun kedua-dua ahli Persatuan Penulis Johor (PPJ) itu tetap merendah diri dan berterima kasih kepada persatuan berkenaan yang banyak membantu mereka untuk berada di kedudukan sekarang.

Menurut Rohaida yang menjadi johan Sayembara Menulis Novel Remaja anjuran Koperasi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 2012, dia amat terhutang budi dengan PPJ kerana merangsang minatnya untuk giat berkarya.

Dia juga baru melancarkan novel berjudul Gerbang Raudah yang menjadi juara dalam sayembara berkenaan dan Gapura Bilanglal selain mendapat tempat kedua dalam Sayembara Menulis Cerita Kanak-kanak sempena Hari Guru Peringkat Kebangsaan anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia dari 2002 hingga 2012.

Rohaidah yang mengajar di SMK Tun Ismail, Parit Raja, Batu Pahat, Johor juga mengakui kesibukan tugasnya sebagai pendidik tidak menghalang dia untuk menghasilkan karya kreatif.

"Karya saya berbentuk moden dan tradisional. Selain cerpen dan novel, saya juga menulis sajak dan puisi tradisional seperti pantun, syair, gurindam dan seloka serta mengarah teater. Pada 2013, pantun saya memenangi tempat ketiga peringkat kebangsaan anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia dan DBP," katanya.

Pada 10 Oktober 2104, teater mini arahannya bertajuk Abdul Rahman Andak Tokoh Pejuang Bangsa memenangi tempat kedua Pengisahan Kenegaraan Peringkat Kebangsaan anjuran Jabatan Penerangan Malaysia dan Kementerian Telekumonikasi dan Multimedia.

Pencapaian Zulaika Paikon juga tidak kurang hebatnya. Dia pernah memenangi hadiah sagu hati dalam Sayembara Penulisan Esei anjuran DBP pada 2009 dan Sayembara Penulisan Puisi dan Cerpen Negeri Johor 2012.

Malah, novel pertamanya yang berjudul Jejak Monpus juga terpilih untuk dipamer dan dipromosikan di Frankfurt pada Oktober 2013. Selain itu, karyanya banyak disiarkan dalam majalah Jendela Selatan selain turut menjadi pilihan untuk mengisi pelbagai antologi terbitan Persatuan Penulis Johor, Yayasan Warisan Johor dan DBP.

"Saya turut menulis buku ulasan komsas dan modul pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di peringkat menengah rendah serta menengah atas. Saya juga membuat ulasan novel Istana Menanti untuk pelajar tingkatan satu dan novel Melunas Rindu bagi pelajar tingkatan empat yang diterbitkan pada 2010," kata guru di SMK Dato Mohd Yunos Sulaiman itu.

Seorang lagi penulis senior, Hasimah Abu Samah menerima Anugerah Bakti PPJ atas sumbangan dan jasa beliau kepada persatuan itu selama ini.

Anugerah disampaikan oleh Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Johor Abdul Hamid Muhamad. Anugerah itu juga diharap dapat merangsang semangat penulis lain khususnya ahli persatuan untuk terus menyemarakkan lagi dunia penulisan tanah air dengan pelbagai karya kreatif dan berkualiti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 January 2015 @ 5:04 AM