ALI (kanan) memperdayakan penjaga gol Bahrain sebelum menjaringkan gol pertama.
ALI (kanan) memperdayakan penjaga gol Bahrain sebelum menjaringkan gol pertama.

Canberra: Ali Ahmed Mabkhout memerlukan hanya 14 saat untuk meletakkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di depan ketika menewaskan Bahrain 2-1 semalam sekali gus memastikan tiket di suku akhir Piala Asia.

Ketika aksi Kumpulan C itu bagaikan berakhir dengan seri 1-1, kapten Bahrain Mohamed Hasan tertampan sepakan percuma Amer Abdulrahman ke gawang sendiri pada minit ke-73 untuk memberikan UAE kemenangan kedua selepas mereka menewaskan Qatar 4-1 dalam aksi pertama.

UAE dan Iran yang menewaskan Qatar 1-0 di Sydney, mendahului kumpulan dengan enam mata dan layak ke kelompok lapan terbaik. Bahrain dan juara Piala Teluk itu tersingkir walaupun masih ada baki satu perlawanan.

Ini kali ketiga UAE mara ke suku akhir dan pertama sejak 1996.

“Pasukan ini membawa kegembiraan kepada rakyat UAE,” kata jurulatih Mahdi Ali.

“Kemenangan ini melegakan kami buat seketika sebelum perlawanan menentang Iran. Kami akan mengharungi perlawanan itu dengan mentaliti sama.”

Selepas Ali menjaringkan antara gol terpantas dalam saingan Piala Asia, penyerang Bahrain, Jaycee John Okwunwanne yang kerap menimbulkan masalah kepada pertahanan lawan menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-26 apabila melompat melepasi Hamdan Al-Kamali untuk menanduk masuk sepakan sudut Faouzi Aaish. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 January 2015 @ 5:11 AM