PEMAIN Iran Ashkan Dejagah (kanan) menggelecek dua pemain Bahrain.
PEMAIN Iran Ashkan Dejagah (kanan) menggelecek dua pemain Bahrain.

Melbourne: Ehsan Hajsafi menyumbat gol voli menakjubkan pada masa kecederaan babak pertama sekali gus membantu Iran menang 2-0 ke atas Bahrain pada aksi Piala Asia, semalam.

Iran, yang berusaha menamatkan penantian 39 tahun bagi kejuaraan keempat, memastikan kemenangan pada perlawanan pertama mereka dalam Kumpulan C apabila Masoud Shojaei menambah gol kedua pada minit ke-71 lantas menyekat usaha keras Bahrain di Melbourne.

Hajsafi mencipta saat magik ketika percubaan terakhir babak pertama, bijak menyambut bola hantaran jauh dengan kaki kirinya sebelum merembat kencang melepasi penjaga gol Bahrain, Sayed Mohamed Abbas dari luar kotak penalti.

Reza Ghoochannejhad didakwa ofsaid pada awal babak kedua sebelum penyerang Bahrain kelahiran Nigeria, Jaycee Okwunwanne hampir mengikut jejak langkah Hajsafi dengan tendangan padu yang bagaimanapun diselamatkan penjaga gol Iran, Alireza Haghighi.

Perlawanan tegang seketika apabila Haghighi berlaga dengan Faouzi Aaish, perancang utama Bahrain.

Namun tidak lama kemudian Shojaei tampil bergaya dengan rembatan kaki kanan yang terkena palang sebelum masuk sekali gus menceriakan 17,000 penonton, kebanyakannya penyokong Team Melli.

Kali terakhir Iran memenangi Piala Asia pada 1976, apabila mereka menang kali ketiga berturut-turut. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 January 2015 @ 6:41 AM