BARU selesai rakam lagu baru ciptaan Ajai bakal dinyanyikan dalam persembahan di Kuala Lumpur.
BARU selesai rakam lagu baru ciptaan Ajai bakal dinyanyikan dalam persembahan di Kuala Lumpur.
Oleh Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Tersingkir daripada Mentor Legend di bawah Mentor Ajai bukan penamat bagi kerjaya Mal Imran dalam bidang nyanyian, sebaliknya satu permulaan baik bagi anak kelahiran Kuching, Sarawak ini.

Mal atau nama sebenarnya Mohamd Akmal Mohamed Imran, 23, kini mengorak langkah dengan merakam lagu pertamanya dan mengikat kontrak bersama syarikat rakaman CQ Music Sdn Bhd.

Pemenang Spotlight 2014 ini mengakui sedih kerana tidak terpilih sebagai protege Ajai tetapi percaya rezekinya di luar lebih baik dan menganggap pertandingan realiti sebagai platform untuk dia menceburi bidang nyanyian.

"Saya baru selesai merakamkan lagu baru bertajuk Cinta Sukar Ditafsirkan dan lagu ciptaan Ajai ini akan saya nyanyikan dalam satu persembahan di Kuala Lumpur nanti.

"Selepas diperdengarkan kepada umum nanti, ia akan dihantar kepada stesen radio untuk dimainkan serta lagu ini boleh dibeli menerusi iTunes Store dan beberapa medium lain," katanya.

Bercerita lanjut mengenai kerjayanya, Mal berkata, syarikat rakaman sudah menyediakan beberapa lagu untuk dirakam dan dikeluarkan secara berperingkat termasuk satu lagu duet.

Bagi lagu duet, Mal mengimpikan berganding dengan Dayang Nurfaizah, namun belum diputuskan kerana perlu mengadakan perbincangan lanjut mengenainya.

"Sudah pasti semua artis mahu tampil album sendiri, tetapi memandangkan aliran pasaran hiburan tidak menentu, saya akan mengeluarkan 'single' terlebih dulu secara berperingkat sebelum digabungkan menjadi satu album.

"Mengikut perancangan syarikat pengurusan, kami akan pergi ke Pulau Boracay, Filipina, pertengahan bulan ini untuk membuat penggambaran klip video," katanya.

Bertugas sebagai artis budaya di Wisma Bapa Malaysia, Mal kini dalam rangka mempromosikan lagu baru di stesen radio di Sarawak, Semenanjung Malaysia dan Brunei.

Selain mengikuti rangka promosi ditentukan syarikat rakaman, anak bongsu daripada lima beradik ini aktif memperkenalkan diri menerusi laman sosial Facebook dan Instagram.

"Sejak menyertai Mentor Legend, saya bersyukur orang mula mengenali saya dan bagi mendekatkan diri dengan peminat, saya memilih untuk menceritakan aktiviti harian menerusi laman sosial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 January 2015 @ 5:00 AM