Oleh Wahi Aziz

Bakat baru yang dikesan oleh komposer terkenal, Ajai ini percaya persaingan sihat dalam merebut tempat menjadi protege penyanyi itu dalam Mentor Legend bukan calang-calang tugas.

Sebagaimana sulit dan berat untuk Ajai memilih mereka, begitu juga debaran dirasai calon protege bernama Mal Imran dan Fahmi Esmail ini.

Ketika ditemui pada sesi latihan untuk konsert pembukaan Mentor Legend di studio Wake The Baby milik komposer itu baru-baru ini, Mal atau nama sebenarnya Mohd Akmal Mohd Imran, 23, berkata, peluang sama rata antara mereka menuntut persiapan yang menyeluruh.

"Sepanjang sesi latihan ini memang kami berkawan dan belajar sama-sama, tapi dalam masa sama kami juga sedar sedang bersaing antara satu sama lain untuk merebut satu tempat itu.

"Vokal saja tak memadai, tapi saya perlu mempersiapkan diri dengan kekuatan mental dan fizikal juga. Pendek kata, saya kena bersedia pada semua aspek, tak boleh terlebih dan tak boleh juga terkurang," katanya.

Fahmi atau Mohd Zulfahmi Esmail, 26, yang masih berkhidmat sebagai pramugara AirAsia pula menganggap per­saingan dengan Mal boleh diibaratkan berseteru di pentas.

"Kalau tak ada semangat untuk berlawan itu pun payah juga sebab kita hanya ada satu tempat saja, tapi dalam proses latihan kami saling membantu satu sama lain

.

"Tempoh latihan untuk kami memperbaiki kekurangan dan memperkemaskan apa yang patut juga semakin singkat hari demi hari. Namun, persaingan itu satu pengalaman menarik," katanya yang berasal dari Shah Alam, Selangor.

Katanya, saingan kuat daripada Mal adalah daripada penjiwaan lagu dan jalur suaranya yang besar, sekali gus menjadi cabaran terbesar untuk dihadapi.

"Saya harus akui penghayatannya dalam menyampaikan lagu cukup baik. Dengan lenggok dan cara nyanyiannya yang mendalam, itu aspek yang saya perlu banyak belajar daripada dia," katanya.

Mal, seorang artis budaya dari Kuching, Sarawak pula menganggap Fahmi seorang penyanyi bersuara tinggi yang mengagumkan.

"Kelebihan dia yang boleh sampai not yang tinggi dengan baik tak pernah saya jumpa sebelum ini. Sebab itu saya anggap dia pencabar terkuat," katanya.

Kata mereka, biar apa pun keputusannya nanti pada malam pemilihan 7 Disember depan, sama ada yang mara atau kecundang, mereka tidak akan berhenti untuk terus meraih peluang bergelar penyanyi profesional.

Maka, tidak hairan apabila kedua-duanya sepakat menegaskan, Mentor Legend bersama Ajai menjadi pilihan kerana ia platform untuk berguru nyanyian yang paling tepat dan berkualiti.

"Saya pilih untuk ke Mentor dan Ajai kerana dua faktor ini lengkap dan terbaik untuk mengisi pencarian saya menggilap bakat juga peluang masa depan," kata Fahmi.

"Saya pula pernah menghadiri beberapa uji bakat program realiti lain, tetapi rezeki untuk Mentor adalah platform menyanyi terbaik kerana program ini benar-benar mahu membentuk penyanyi," kata Mal pula.

Ajai pula melihat kekuatan vokal dan pakej menarik kedua-dua jejaka itu adalah kombo terbaik untuk melahirkan generasi pelapis.

"Dua-dua bagus dan ada kelebihan. Sudahnya saya fikir beginilah, salah seorang akan dapat hadiah untuk menyertai Mentor manakala yang tak terpilih pula akan saya terbitkan album.

"Saya tak nak kehilangan dua bakat berpotensi ini jadi dengan cara ini saja saya akan terus gilap mereka," katanya.

Mal dan Fahmi akan memulakan cabaran awal mereka dengan lagu duet Bukan Dia Tapi Aku nyanyian asal Judika pada konsert pembukaan yang memperkenalkan semua calon protege dan Mentor malam ini.

Ia diikuti dua konsert pemilihan protege yang terbahagi kepada dua kumpulan pada 30 November dan 7 Disember depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 November 2014 @ 5:01 AM