MENTERI Pertahanan Iran, Hossein Dehghan (kiri) menyambut ketibaan Ketua Turus Tentera rejim Syria, Jeneral Ali Abdullah Ayoun di pejabatnya di Teheran.  -  AFP
MENTERI Pertahanan Iran, Hossein Dehghan (kiri) menyambut ketibaan Ketua Turus Tentera rejim Syria, Jeneral Ali Abdullah Ayoun di pejabatnya di Teheran. - AFP

Teheran: Teheran akan terus menyokong rejim Syria walaupun ratusan penasihat dan sukarelawannya terbunuh dalam perang saudara selama enam tahun di negara itu.

Iran yang hampir seluruh penduduknya berfahaman Syiah serta sekutunya di Lubnan, Hizbullah adalah penyokong paling penting rejim Presiden Bashar al-Assad selepas Russia dalam pertempuran menentang pejuang Sunni Syria.

“Kami akan terus menghantar penasihat dalam semua lapangan dan menawarkan bantuan bagi memastikan perjuangan Sunni di Syria tidak berjaya. Penasihat kami berada di sana ketika ini dan kami akan menghantar lebih ramai jika Syria memerlukan,” kata komander pasukan darat Pengawal Revolusi, Jeneral Mohammad Pakpour kepada agensi berita Fars.

Menurutnya, penasihat yang dihantar termasuk Unit Tentera Khas Saberin yang bekerjasama dengan Pasukan Pengawal Quds.

Ketua Turus Tentera Syria, Ali Abdullah Ayoub semalam berada di Teheran untuk berunding dengan pihak berkuasa Iran.

Dalam pertemuan dengan Menteri Pertahanan Iran, Hossein Dehghan, Ali berkata, negaranya terhutang budi kepada Iran.

Selain penasihat, Iran turut menghantar sukarelawan dalam kalangan rakyatnya dan juga penganut Syiah dari Afghanistan dan Pakistan.

Sehingga awal Mac lalu, sekurang-kurangnya 2,100 sukarelawan yang dihantar Iran mati di Iraq dan Syria, menurut pegawai negara itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2017 @ 10:08 AM