GAMBAR fail, menunjukkan seorang Syiah Iran  di Masjidilharam, Makkah.
GAMBAR fail, menunjukkan seorang Syiah Iran di Masjidilharam, Makkah.
AFP

Teheran: Iran tidak akan menghantar jemaah haji musim ini pada September depan selepas gagal mencapai persetujuan dengan Arab Saudi mengenai pengurusan jemaah negara itu.

Rundingan mengenainya diadakan selama empat hari di Arab Saudi bulan lalu dalam usaha mencari jalan bagi membolehkan jemaah Iran menunaikan ibadah itu selepas Arab Saudi menutup kedutaannya di Teheran dan penerbangan dari Teheran ke Arab Saudi dihentikan.

“Rundingan yang diadakan tidak berjaya menyelesaikan masalah dan kini sudah terlalu lambat untuk menguruskan pemergian rakyat Iran bagi menunaikan haji,” kata Menteri Kebudayaan, Ali Jannati, yang mengetuai rundingan bagi pihak negaranya.

Bercakap kepada agensi berita Iran (IRNA) semalam, Ali menyifatkan sikap pegawai Saudi terlalu dingin.

“Mereka tidak menerima cadangan kita mengenai pengeluaran visa, pengangkutan dan keselamatan jemaah kita.

“Mereka mahu jemaah kita pergi ke sebuah negara lain dan memohon visa di situ,” kata Ali.

Iran mendesak Arab Saudi mengeluarkan visa menerusi kedutaaan Switzerland di Teheran yang bertanggungjawab terhadap kepentingan negara itu sejak Riyadh memutuskan hubungan Januari lalu selepas serangan terhadap misi diplomatiknya oleh penunjuk perasaan Iran.

Satu lagi isu ialah mengenai keselamatan selepas kejadian mati terpijak pada musim haji lalu yang menyebabkan lebih 2,000 jemaah asing, termasuk 464 warga Iran, terbunuh.

Iran yang berfahaman Syiah dan Arab Saudi, Sunni, terbabit dalam pertelagahan di peringkat serantau, khususnya konflik di Syria dan Yaman dengan masing-masing menyokong kumpulan bertentangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2016 @ 7:12 AM