PENDUDUK Iran berkumpul di Tehran, Iran sebagai menyokong perjuangan Palestin. FOTO Reuters.
PENDUDUK Iran berkumpul di Tehran, Iran sebagai menyokong perjuangan Palestin. FOTO Reuters.
Reuters

Dubai: Kementerian Luar Iran berkata serangan oleh sekutunya Hamas ke atas Israel semalam adalah tindakan mempertahankan diri oleh rakyat Palestin dan menggesa negara Islam menyokong hak penduduk mereka.

Kumpulan pejuang Hamas mengejutkan Israel dengan serangan terbesar dalam beberapa dekad dalam tindak balas mengejut yang menggabungkan gerakan pejuang melintas sempadan dan bedilan ribuan roket dari Semenanjung Gaza.

"Operasi ini ... adalah gerakan spontan kumpulan penentang dan rakyat Palestin yang tertindas dalam mempertahankan hak mereka yang tidak boleh dipisahkan dan reaksi semula jadi mereka terhadap dasar perang dan provokatif Zionis," media negara Iran memetik jurucakap kementerian, Nasser Kanaani sebagai berkata.

"Iran menganggap rejim penjajah Zionis dan penyokong terkenalnya bertanggungjawab atas keganasan dan pembunuhan terhadap rakyat Palestin dan menggesa negara Islam untuk menyokong hak rakyat Palestin," kata Kanaani.

Ali Akbar Velayati, penasihat tertinggi kepada Pemimpin Tertinggi Ayatollah Khamenei, berkata dalam satu kenyataan: "Operasi yang berjaya ini pasti akan mempercepatkan kejatuhan rejim Zionis dan menjanjikan penghapusan yang akan berlaku," lapor agensi berita, Fars.

Jurucakap kerajaan Ali Bahadori-Jahromi memberitahu media kerajaan bahawa serangan itu "membuktikan bahawa rejim Zionis lebih terdedah berbanding sebelum ini dan bahawa inisiatif itu berada di tangan pemuda Palestin."

Video yang disiarkan oleh televisyen kerajaan menunjukkan orang ramai berkumpul di Dataran Palestin Teheran untuk mengalu-alukan berita serangan itu, melaungkan "Kematian bagi Israel" dan menyalakan bunga api. Rakaman TV juga menunjukkan kegembiraan di beberapa bandar di seluruh Iran.

Yahya Rahim Safavi, bekas komander Pengawal Revolusi yang kini menjadi penasihat kepada Khamenei, sebelum ini berkata: "Kami akan berdiri bersama pejuang Palestin sehingga pembebasan Palestin dan Baitulmaqdis."

Televisyen negara menunjukkan ahli parlimen bangkit dari kerusi mereka semalam untuk melaungkan "Matilah Israel" dan "Palestin menang, Israel akan dimusnahkan."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2023 @ 10:02 AM