TENTERA Syria bersiap sedia di Douma, bandar pinggir Damsyik yang mereka kepung sejak beberapa bulan lalu.
TENTERA Syria bersiap sedia di Douma, bandar pinggir Damsyik yang mereka kepung sejak beberapa bulan lalu.
Agensi

Teheran: Seorang pegawai kanan tentera Iran semalam memberi amaran kepada Arab Saudi supaya tidak menghantar tentera ke Syria selepas Riyadh mengerahkan pesawat pejuangnya ke Turki.

“Kami sudah pasti tidak membenarkan keadaan di Syria menjadi lebih buruk. Kami akan bertindak jika tiba masanya,” kata timbalan ketua turus tentera Iran, Brigadier Jeneral Masoud Jazayeri kepada stesen televisyen berbahasa Arab Iran, Al-Aalam.

Dia berkata demikian sebagai menjawab soalan sama ada Iran merancang menghantar lebih banyak penasihat tentera ke Syria jika Saudi menghantar askarnya, sekali gus mencetuskan konfrontasi secara langsung antara dua musuh serantau itu.

Riyadh berkata kelmarin, ia menghantar pesawat perang ke pangkalan udara Incirlik di Turki sebagai usaha untuk meningkatkan operasi menentang pengganas Daish di Syria.

Turki menyerang kedudukan Kurdis dan rejim Syria di utara Syria, sekali gus menyulitkan lagi usaha menamatkan perang yang sudah meragut lebih 260,000 nyawa sejak 2011.

Iran, sekutu serantau Syria, menyokong Presiden Bashar al-Assad dengan menghantar penasihat tentera dan sukarelawan untuk membantu askar Syria.

“Pengganas yang berperang di Syria hari ini adalah askar Saudi atau Amerika,” kata Masoud.

“Hari ini, selepas tentera Syria menang, Saudi dan sekutu Arabnya mahu menghantar askar ke negara itu. Ia satu pembohongan dan perang psikilogi.

“Arab Saudi menggunakan apa sahaja yang dimilikinya di Syria, dan ia bukan setakat gagal di negara itu, tetapi juga di Yaman,” kata Masoud.

Pakatan yang diketuai Arab Saudi melancarkan serangan udara terhadap pemberontak Houthi yang disokong Iran di Yaman sejak Mac lalu, memburukkan lagi hubungan antara Riyadh dan Teheran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2016 @ 7:22 AM