Sulaiman aktif dalam persatuan olahraga amatur. FOTO MEOR RIDUWAN
Sulaiman aktif dalam persatuan olahraga amatur. FOTO MEOR RIDUWAN
Suzalina Halid


Alor Setar: Negara kehilangan seorang tokoh sukan dengan pemergian Timbalan Presiden Persatuan Olahraga Amatur Kedah, Sulaiman Solomon Abdullah,79, akibat sakit jantung, hari ini.

Allahyarham Sulaiman atau dikenali 'Mr Solomon' yang berasal dari Pulau Pinang, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Putra Medical Centre (PMC), dekat sini, pada jam 5.30 pagi.

Anak Allahyarham, Rizal Solomon, 43, berkata, bapanya mengalami serangan jantung di rumah di Taman Darul Aman, dekat sini, sebelum dikejarkan ke PMC bagi menerima rawatan.

"Ibu saya, Fatimah Mohamad, 73, menghubungi ambulans tengah malam semalam selepas arwah ayah terkena serangan jantung lalu dikejarkan ke hospital dan disahkan meninggal dunia pada jam 5.30 pagi," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Rizal berkata, bapanya yang menghidap sakit jantung sejak lebih 10 tahun lalu meninggalkan seorang balu dan anak selain empat cucu.

Katanya, jenazah bapanya yang juga bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Teknik Persekutuan Olahraga Amatur Antarabangsa (IAAF) dikebumikan di Tanah Perkuburan Al-Bukhary, dekat sini, pada jam kira-kira 2 petang hari ini.

"Allahyarham sangat aktif menyumbang dalam persatuan olahraga amatur membabitkan bahagian teknikal olahraga sejak terbabit dalam bidang itu pada sekitar 1960-an," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2017 @ 7:58 PM