Amirul Haswendy Ashari

Rendisi kedua Guardians Of The Galaxy ini, pengarahnya, James Gunn berjaya membuktikan dia seorang yang bijak dengan menghidangkan pelbagai elemen menarik disukai penonton.

Gunn berjaya membawa penonton ke arah pengembaraan yang mendebarkan tetapi pada masa sama menghiburkan.

Penonton pasti tidak kering gusi dengan pendekatan kali ini di hampir setiap babak. Malah penonton juga pasti terkejut dengan emosi yang turut disuntik sehingga ia boleh dianggap antara produk terbitan Marvel terbaik pernah dihasilkan.

Ia tidak menyebabkan penonton terkesan adanya elemen sedih tapi membuatkan penonton mahu lebih lagi biarpun di babak terakhir.

Sisi terbaik pastinya pada elemen retro yang menguasai setiap babak aksi. Selain jenaka tanpa henti, filem ini berjaya mengembangkan setiap karakter melalui jalur cerita menarik.

Terutamanya watak Chris Pratt sebagai Star Lord. Begitu juga persembahan watak antagonis Ego (Kurt Russel) yang berjaya membawa penonton ke arah babak penuh suspen.

Pengarah berjaya mengemudi klimaks filem seolah-olah penonton sebahagian daripada keluarga Guardians.

Filem ini tetap memiliki kekurangan tersendiri. Di sebalik babak aksi yang penuh elemen jenaka terutama melalui watak Baby Groot, filem ini bermula agak perlahan.

Terutama watak terlalu banyak bercakap dan setiap perbualan mereka menjurus lebih lama berbanding sepatutnya.

Beberapa perincian suntingan juga agak keterlaluan sehingga ia nampak terlalu menjengkelkan. Malah kesan khas CGI yang terlalu banyak memenuhi setiap ruang.

Bukan bermakna kesan CGI membuatkan penonton lemas, cuma beberapa perincian props kurang diberi penekanan sepatutnya.

Apa sekali pun, penonton pasti menggemari OST filem yang bukan saja ‘catchy’ malah pasti akan membuatkan anda teringat-ingat walaupun kaki sudah melangkah keluar panggung.

INFO

• FILEM: Marvel’s Guardians Of The Galaxy Vol 2

• ARAHAN: James Gunn

• PELAKON: Chris Pratt, Zoe Saldana, Dave Bautista, Vin Diesel, Bradley Cooper, Michael Rooker, Karen Gillan

• GENRE: Aksi sains fiksyen

• TAYANGAN: 27 April 2017

• ULASAN: Amirul Haswendy Ashari

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2017 @ 5:31 AM