Amirul Haswendy Ashari


Satu ketika dulu, Fast And Furious berkenaan lumba kereta dan rendisi demi rendisi berubah kepada idea lebih besar. Kereta dalam filem ini sebagaimana dalam versi terdahulu, wujud untuk mencipta momentum saja.

Apabila sebuah filem tidak terlalu fokus pada lakonan dan jalan cerita, bagaimana ia boleh menjadi hebat? Dalam hal ini, pastinya pada babak aksi, kesan khas CGI, skor muzik, pengarahan dan sinematografi.

Jujurnya filem ini penuh dengan babak ‘luar kotak’ dan jika penonton sudah biasa menonton kereta terbang ke udara dalam filem terdahulu, pastinya penonton dapat terima segala aksi ‘mengarut’ dalam filem ini. Filem ini bukan pasal ‘realisme’, tidak ubah seperti menonton filem adiwira yang secara terus terang sekadar untuk hiburan saja.

Walaupun menghiburkan, ia tetap ada kelemahan. Pertamanya ia seolah-olah bergerak dalam skala kecil berbanding filem lalu.

Pengarahnya cuba bercerita dengan lebih mendalam di sebalik semua aksi, berbanding cuba untuk menolak cerita pergi lebih jauh. Berkemungkinan pengarahnya tidak mempunyai kemahiran mengarah babak aksi seperti Justin Lin atau James Wan. Namun, dia tetap berjaya menaik taraf aspek lain dalam filem.

Dari segi CGI, ia tidaklah bahan bertaraf anugerah tapi ia tetap mengangkat keseluruhan filem. Kelemahan ketara CGI pada babak Charlize Theron mengawal ratusan kereta.

Cakap pasal Charlize, dia memberi persembahan terbaik dalam lakonan. Cara dia bermain dengan watak antagonis membuatkan penonton sendiri berasa takut. Pelakon lain juga melontarkan persembahan baik hampir sama, namun jika dibandingkan filem sebelum ini, tiada perubahan ketara.

Boleh dikatakan bahagian paling menarik dalam filem memang berjaya memukau penonton tapi bahagian paling teruk pula menarik ke bawah segala rasa teruja pada keseluruhan filem.

Pengalaman menarik menonton filem ini selalunya datang daripada perincian kecil. Pada akhir penceritaan, ia hanyalah mengenai lelaki Alpha menentang lelaki Alpha lain, itu saja.

Rumusannya, filem ini tidaklah sehebat filem terdahulu. Asasnya ia menggunakan resipi sama, cuma pada kadar rendah tapi paparan yang menakjubkan.

INFO

• FILEM: Fast And Furious 8

• ARAHAN: F. Gary Gray

• PELAKON: Vin Diesel, Dwayne Johnson, Michelle Rodriguez, Jason Statham, Charlize Theron

• GENRE: Aksi

• TAYANGAN: 13 April 2017

• ULASAN: Amirul Haswendy Ashari

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2017 @ 2:45 AM