GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis hanya menerima satu laporan berhubung skim pelaburan 'JJ Poor To Rich' (JJPTR) iaitu skim tukaran wang asing yang di senarai hitam Bank Negara Malaysia (BNM).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, sehingga kini hanya seorang pengadu membuat laporan polis di Johor mendakwa diperdaya skim berkenaan Januari lalu.

Beliau berkata, pengadu menyedari diperdaya skim berkenaan selepas membaca petikan berita mengatakan pelaburan berkenaan tidak diluluskan dan terbabit dengan penggubahan wang haram.

"Mangsa rasa tertipu dan terpedaya kerana apa yang diterangkan oleh sindiket berkenaan adalah skim berunsurkan perniagaan.

"Polis kini sudah memulakan siasatan berhubung skim berkenaan dan berharap dapat menyelesaikan siasatan secepat mungkin," katanya.

Difahamkan, terdapat puluhan ribu ahli JJPTR yang diminta untuk melabur antara AS$25 dan AS$1,000 (RM110 dan RM4,400) dan menjanjikan pulangan bulanan sebanyak 20 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2017 @ 3:19 PM