AFDLIN Shauki
AFDLIN Shauki
ZAINAL Abidin
ZAINAL Abidin
Syanty Octavia Amry


Mungkin ada sesetengah orang tidak tahu penyanyi Datuk Zainal Abidin seorang yang pandai berlawak.

Sering dilihat sebagai penyanyi hebat, pastinya peminat teringin melihat bagaimana Zainal menyanyi dalam gaya lebih santai sambil berlawak dengan penonton.

Menerusi persembahan yang diberi nama Konsert Double Trouble Muzik dan Komedi, Zainal akan tampil bersama Afdlin Shauki menghiburkan penonton.

Persembahan itu akan berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini di Comedy Planet, pusat beli-belah Great Eastern Mall, Kuala Lumpur.

Berkongsi pemilihan Zainal pada persembahan itu, Afdlin selaku pemilik Comedy Planet berkata, dia sudah lama berhasrat mempelawa Zainal membuat persembahan di situ.

“Zainal memang banyak komitmen dan terikat dengan persembahan lain. Sekarang barulah ada masa yang sesuai.

“Menariknya, penonton boleh menyaksikan Zainal akan berlawak di samping menyelami lebih dalam mengenai dirinya, manakala saya akan menyanyi.

“Kami akan berkongsi pengalaman dan kisah perjalanan kerjaya masing-masing,” katanya.

Afdlin berkata, persembahan itu juga ibarat pertemuan semula dengan Zainal kerana sudah lama tidak berjumpa dan melepak bersama-sama.

“Sudah lama kami tidak berjumpa disebabkan masing-masing sibuk. Konsert ini ibarat kami bertemu dan berbual sambil menyanyi menghiburkan penonton.

“Selama satu jam setengah kami akan menghiburkan penonton dengan himpunan lagu popular Zainal,” katanya.

Selain Zainal, konsert Double Trouble Muzik dan Komedi itu akan diteruskan lagi pada masa akan datang bersama artis lain antaranya Adibah Noor dan Dayang Nur Faizah.

Maklumat lanjut mengenai persembahan ini sila layari Instagram @afdlinshaukiofficial.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2017 @ 6:25 AM