ABU Bakar menunjukkan rokok yang dirampas.
ABU Bakar menunjukkan rokok yang dirampas.
Oleh Yusmawati Mhd Yusof


Alor Gajah: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Daerah Maritim 5 (DM5) Kuala Linggi merampas sebuah bot dengan tiga enjin bersama 1,260 karton rokok seludup bernilai RM356,000 di perairan Sungai Chuah, Kuala Lukut, Negeri Sembilan.

Ketua Penguatkuasa DM5 Laksamana Pertama, Abu Bakar Idris berkata, bagaimanapun dalam operasi khas 9.45 malam itu, tekong dan awak-awak bot berkenaan gagal ditahan selepas meloloskan diri di kawasan hutan paya bakau.

"Bot gentian kaca berwarna kelabu dan tidak mempunyai nombor pendaftaran itu berjaya ditahan selepas dikejar kira-kira 20 minit dengan bot kami dari perairan Kuala Sepang, Selangor.

"Ketika ditahan tekong dan awak-awak terjun ke pantai dan melarikan diri ke hutan paya bakau, manakala hasil pemeriksaan ke atas bot pancung itu mendapati terdapat muatan 1,260 karton rokok keretek dan rokok putih pelbagai jenis di dalamnya," katanya pada sidang media di DM5, Kuala Linggi di sini, tadi.

Menurutnya, bot berkenaan kemudian ditunda ke Jeti DM5 dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 kerana menyeludup masuk rokok tidak sah ke Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 January 2015 @ 2:27 PM