Tekong dan tiga PATI ditahan APMM. FOTO Ihsan APMM.
Tekong dan tiga PATI ditahan APMM. FOTO Ihsan APMM.
Oleh Mohd Hilmie Hussin


CUBAAN seorang tekong laut mendaratkan tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini, tidak kesampaian apabila dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka & Negeri Sembilan.

Pengarah Maritim Negeri Melaka & Negeri Sembilan Kepten Maritim Amran Daud berkata, tiga PATI dan tekong berkenaan ditahan ketika berada di kedudukan 2.3 Batu Nautika dari barat laut Pulau Tanjung Bidara, Melaka, pada jam 11 malam semalam.

Beliau berkata, tekong dan PATI warganegara Indonesia yang ditahan berusia 20 hingga 38 tahun.

Katanya, kehadiran bot pancung gentian kaca dinaiki semua suspek dikesan menerusi Sistem Pengawasan Maritim (Laut) SWASLA.

“Tangkapan ini hasil operasi khas selepas menerima maklumat daripada SWASLA terdapat pergerakan sebuah bot mencurigakan dari perairan Pulau Rupat, Indonesia ke perairan negara.

“Kami kemudian mengesan sebuah bot pancung gentian kaca tanpa nombor pendaftaran menggunakan enjin sangkut 85 kuasa kuda.

“Bot berkenaan dipintas dan pemeriksaan mendapati ada seorang tekong membawa tiga lelaki warganegara asing,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, tekong laut terbabit disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), manakala tiga PATI akan disiasat di bawah Akta Imigresen.

Amran berkata, semua suspek diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka dan kini ditahan di Depoh Tahanan Imigresen Machap Umboo.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 3:05 PM