MENTERI Pendidkan Malaysia, Datuk Seri Mahadzir Khalid. FOTO Che Rani Che Din
MENTERI Pendidkan Malaysia, Datuk Seri Mahadzir Khalid. FOTO Che Rani Che Din
Aizat Sharif


Kuala Nerang: Pengetua dan guru besar sekolah perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam mengenalpasti guru yang didapati mempunyai masalah kemurungan di sekolah mereka.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sistem pengurusan pendidikan di negara ini mempunyai strukturnya dimana pengetua dan guru besar bertanggungjawab di peringkat sekolah, pegawai pendidikan daerah pula terbabit di peringkat daerah dan pengarah pendidikan negeri pula berperanan di peringkat negeri.

“€œPengetua dan guru besar perlu memainkan peranan yang proaktif kerana mereka ini yang bertanggungjawab. Sebagai contoh katakanlah di sekolah itu ada hampir 50 orang guru, tidak bolehkah mereka mengenalpasti guru mana yang didapati mempunyai masalah kemurungan.

“Mereka ini adalah pengurus di sekolah itu dan harus mengambil tanggungjawab ini di sekolah masing-masing dan ini sebenarnya pihak pengetua atau guru besar itu sendiri boleh menyelesaikannya di peringkat sekolah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Pendidikan Bumiputera di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Syed Ahmad, disini, tadi.

Beliau berkata jika didapati guru berkenaan mempunyai masalah berkenaan, pengetua atau guru besar boleh memanjangkan perkara itu kepada pihak pejabat pendidikan daerah (PPD).

“PPD pula boleh mambawa perkara itu kepada pihak jabatan pendidikan negeri bagi memastikan guru terbabit boleh diletakkan di suatu tempat yang selamat dan jauh daripada murid dan pelajar.

“Semua perkara ini dapat diselesaikan sekiranya sikap kertanggungjawaban itu ada pada setiap pengetua atau guru besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden seorang murid tahun dua sebuah sekolah kebangsaan di Penampang, Sabah yang terpaksa menerima lapan jahitan di kepala selepas cedera dibaling sebuah kerusi kayu oleh seorang guru di sekolah berkenaan semalam.

Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Emeritus Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar, yang juga adalah Pengerusi Jawatankuasa Induk Jelajah Pendidikan Bumiputera.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 April 2017 @ 3:25 PM