TIMBALAN Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) merangkap Ahli Perlimen Kuala Pilah, Datuk Eddin Syazlee Shith (tiga dari kiri) menyampaikan Agihan Penghargaan kepada salah seorang Ketua Pejabat Pendidikan Daerah secara pandu lalu pada program Gerakan Massa Terima Kasih Cikgu sempena Hari Guru Peringkat Negeri Sembilan tahun 2020 di Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Pilah.  FOTO Amran Yahya.
TIMBALAN Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) merangkap Ahli Perlimen Kuala Pilah, Datuk Eddin Syazlee Shith (tiga dari kiri) menyampaikan Agihan Penghargaan kepada salah seorang Ketua Pejabat Pendidikan Daerah secara pandu lalu pada program Gerakan Massa Terima Kasih Cikgu sempena Hari Guru Peringkat Negeri Sembilan tahun 2020 di Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Pilah. FOTO Amran Yahya.
Amran Yahya


PEJABAT Pendidikan Negeri Sembilan akan melaksanakan simulasi khas 'pelajar mula bersekolah' di setiap daerah sebelum sesi persekolahan dibuka.

Pengarah Pendidikan Negeri Md Fiah Md Jamin berkata, simulasi akan diadakan di setiap daerah dalam masa terdekat bertujuan memberi kefahaman kepada guru, pelajar serta kakitangan sekolah.

"Sebuah sekolah akan dipilih di setiap daerah. Pengetua, guru besar serta guru yang terbabit dikehendaki hadir menyaksikan simulasi ini untuk dijadikan contoh.

"Simulasi merangkumi pergerakan pelajar bermula daripada masuk ke pintu pagar sekolah sehingga pulang, selain pergerakan dari satu tempat ke satu tempat, ke kantin, ke makmal serta ke asrama.

"Walaupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) mereka, namun di peringkat sekolah sudah ada ketetapan yang lain tergantung kepada jumlah pelajar, jumlah tenaga kerja serta keluasan sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada program Gerakan Massa Terima Kasih Cikgu sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2020 di Pejabat Pendidikan Daeah (PPD) Kuala Pilah hari ini.

Program dirasmikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) merangkap Ahli Parlimen Kuala Pilah Datuk Eddin Syazlee Shith.

Hadir sama Pegawai Ketua PPD Kuala Pilah Megat Affandi Ismail dan Pengerusi Pergerakan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) Negeri Sembilan Mohd Kamel Abd Karim.

Menurut Md Fiah, pada awal persekolahan dibuka, sudah pasti timbul masalah terutama kepada sekolah yang mempunyai jumlah pelajar yang ramai.

"Jika jumlah pelajar ramai, kemungkinan kita akan melaksanakan dua sesi iaitu pagi dan petang.

"Bagaimanapun, dalam hal ini, kebijaksanaan pengetua dan guru besar amat diharap bagi merancang serta merangka tindakan yang bakal dilaksanakan," katanya.

Sementara itu, Eddin Syazlee turut menyampaikan agihan penghargaan kepada setiap Ketua PPD dan Pengerusi Kumpulan Penggerak Ibu bapa dan Komuniti Daerah Seluruh Negeri Sembilan dengan secara pandu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2020 @ 2:21 PM