PEMAIN City, Raheem Sterling (kanan) beraksi ketika kalah di tangan Spurs, awal pagi kelmarin. — FOTO Reuters
PEMAIN City, Raheem Sterling (kanan) beraksi ketika kalah di tangan Spurs, awal pagi kelmarin. — FOTO Reuters
AFP

MANCHESTER City dan Liverpool meneruskan pertarungan epik mereka bagi merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris, Ahad ini selepas nasib berbeza pada aksi Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu dengan kedua-dua pasukan berdepan pasukan berbahaya.

City bertandang ke Crystal Palace ketinggalan dua mata di belakang anak buah Juergen Klopp, namun kejuaraan masih boleh berada di dalam genggaman mereka kerana beraksi kurang satu perlawanan.

Bagaimanapun, kunjungan ke Selhurst Park memulakan jadual sukar yang mana anak buah Pep Guardiola melayan kehadiran Tottenham dua kali, bermain dengan Manchester United di Old Trafford dan berdepan aksi sukar di Burnley.

Kekalahan 0-1 di Spurs pada suku akhir pertama Liga Juara-Juara awal pagi kelmarin menamatkan rentetan 14 kemenangan berturut-turut dan bermakna Guardiola perlu lebih berhati-hati dengan pemilihan pemainnya hujung minggu ini.

MOHAMED Salah (kanan) pasti menjadi tumpuan pertahanan Chelsea di Anfield. — FOTO AFP
MOHAMED Salah (kanan) pasti menjadi tumpuan pertahanan Chelsea di Anfield. — FOTO AFP

Jika beliau lebih memikirkan mengenai aksi kedua di laman sendiri pertengahan minggu depan, Palace mungkin boleh menjejaskan rentak City dan memberikan rangsangan buat Liverpool.

Anak buah Roy Hodgson mencetus kekalahan tunggal City di laman sendiri dalam kempen liga Disember lalu dan turut menamatkan rekod 18 kemenangan berturut-turut pasukan juara itu dalam Liga Perdana musim lalu.

Kemenangan buat City sekali gus kembali ke puncak carta mampu mencetus tekanan terhadap Liverpool hanya beberapa minit sebelum sepak mula menentang Chelsea di Anfield.

Kunjungan kelab London itu mengimbau semula memori kali terakhir buat Liverpool, yang mengalahkan Porto 2-0 di laman sendiri pada suku akhir Liga Juara-Juara, yang hampir menamatkan penantian lama bagi kejuaraan liga.

Ketika itu di bawah kendalian Brendan Rodgers, Reds hanya memerlukan tiga perlawanan untuk memastikan kejuaraan pada 2014 hinggalah insiden kapten Steven Gerrard terjatuh membenarkan Demba Ba menjaringkan gol pembukaan sekali gus Chelsea menang 2-0.

Chelsea satu-satunya pasukan pelawat yang menang di Anfield musim ini terima kasih kepada jaringan solo mengagumkan Eden Hazard yang membantu kemenangan 2-1 pada aksi Piala Liga, September lalu.

Lebih membimbangkan buat Liverpool, bintang Belgium itu kembali ke kemuncak prestasinya Isnin lalu, menjaringkan kedua-dua gol termasuk satu lagi gol individu menakjubkan ketika menang 2-0 ke atas West Ham yang membantu melonjakkan Chelsea ke tangga ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2019 @ 2:30 PM