AFP

LIVERPOOL mampu menambah luka Manchester United dengan kemenangan pertama di Old Trafford dalam tempoh lima tahun Ahad ini, manakala Manchester City akan cuba merapatkan diri dengan pendahulu liga dengan kemenangan di Crystal Palace.

Baru lapan perlawanan musim ini, 15 mata memisahkan Liverpool di puncak liga berbanding United di tangga ke-12.

Juara Eropah itu malah mendahului lapan mata berbanding pencabar utama mereka City, hasil 17 kemenangan berturut-turut Liga Perdana Inggeris bermula sejak akhir musim lalu.

Sebaliknya United hanya menang dua daripada 13 perlawanan liga.

Masalah kecederaan yang menyumbang pergelutan Red Devils awal musim ini berlanjutan dengan ketiadaan pemain berpengaruh Paul Pogba dan David de Gea.

Bagaimanapun Ole Gunnar Solskjaer meminta pemainnya lebih bersemangat untuk perlawanan membabitkan dua pasukan paling berjaya dalam sejarah Liga Perdana.

“Saya sentiasa lihat perlawanan berikutnya sebagai satu peluang. Perlawanan menentang Liverpool adalah peluang hebat untuk kami melangkah ke laluan berbeza,” kata Solskjaer.

“Saya sentiasa menganggapnya sebagai peluang terbaik. Saya tahu peminat dan pemain menantikannya.

“Kami perlu bangkit dan ini adalah perlawanan besar yang anda nantikan sebagai pemain Manchester United - anda perlu tunjukkan kualiti.”

Juergen Klopp menyambut ulang tahun keempat di Anfield awal minggu ini dan biarpun pengendali kelahiran Jerman itu berjaya mengubah nasib Liverpool, beliau belum pernah menang di Old Trafford.

“Saya tidak fikir apa prestasi anda dalam perlawanan seperti ini. Tidak kisahlah jika kami menang lapan perlawanan berturut-turut dan mereka bergelut. Ini adalah Man United menentang Liverpool,” kata bek kiri Liverpool Andy Robertson.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 10:06 AM