Farah Suhaidah Othman


Ipoh: Seorang wanita dipercayai dalang sindiket pemalsuan sijil cuti sakit di sekitar Slim River sejak enam tahun lalu ditahan di sebuah kedai alat tulis di Jalan Medan Niaga Pasar berhadapan Stesen Bas Slim River, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian 7.15 malam itu, suspek berusia 33 tahun ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Ketua JSJK Perak Superintendan Lee Ewe Kiang berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang doktor yang melaporkan namanya digunakan individu tertentu untuk mendapatkan sijil cuti sakit.

Katanya, susulan laporan diterima, pihaknya menjalankan siasatan serta risikan selama seminggu sebelum menyerbu premis berkenaan dan menahan wanita itu.

“Siasatan awal mendapati sindiket beroperasi sejak 2011 dan pelanggan yang membeli sijil cuti sakit terdiri daripada kakitangan kerajaan, pekerja swasta dan penuntut institut pengajian tinggi (IPT) di sekitar Slim River.

“Setiap sijil cuti sakit dijual pada harga RM18 hingga RM25 sekeping dan kebanyakan sijil cuti sakit itu difotostat daripada salinan asal sebelum diisi dengan butiran pelanggan,” katanya pada sidang media di Pejabat JSJK Perak di sini, hari ini.

Lee berkata, hasil pemeriksaan dalam premis terbabit, polis merampas pelbagai barangan dan dokumen dipercayai digunakan suspek untuk memalsukan dokumen sijil cuti sakit.

Katanya, turut dirampas empat buku latihan catatan nama pelanggan, 13 keping sijil cuti sakit yang masih kosong dilengkapi nombor siri dipercayai palsu, slip kosong sijil kosong yang tertera tulisan Sijil Cuti Sakit dan Pelepasan Waktu Hospital Slim River dipercayai palsu dan sijil cuti sakit yang mengandungi maklumat pesakit juga dipercayai palsu.

“Sebanyak 20 cop pelbagai nama dan jawatan serta hospital, dua stamp pad, tiga keping salinan sijil SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia) dan telefon bimbit turut dirampas,” katanya.

Beliau berkata, kes siasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana terbabit dalam kes penipuan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2017 @ 5:01 PM
Lee (tiga kanan) menunjukan sijil cuti sakit palsu serta cop yang dirampas daripada sindiket pada sidang media di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil IPK Perak. FOTO L Manimaran
Lee (tiga kanan) menunjukan sijil cuti sakit palsu serta cop yang dirampas daripada sindiket pada sidang media di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil IPK Perak. FOTO L Manimaran